Adik Sultan Kelantan Saman Polis RM150 Juta

KUALA LUMPUR – Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menuntut ganti rugi berjumlah RM150 juta daripada Ketua Polis Negara dan tiga yang lain berhubung penahanannya yang didakwa dibuat secara salah tiga tahun lalu.



Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam pada pukul 9 pagi melalui Tetuan AS Dhaliwal.

Dalam writ saman itu, beliau selaku plaintif menamakan Tan Sri Ismail Omar sebagai defendan pertama, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia masing-masing sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dakwa plaintif, pada 30 Ogos 2009 beliau bersama peguamnya telah memandu keluar sebuah kenderaan jenis Bentley Brooklands nombor pendaftaran DBG 1 dari Istana Mahkota Kubang Kerian selepas dititah oleh ayahanda, Sultan Ismail Petra untuk mengambil, memandu dan menghantar kenderaan itu ke Singapura.