Barang Michael Jackson Di Lelong

Kandungan sebuah kediaman yang pernah menjadi tempat tinggal Raja Pop, Michael Jackson (gambar kecil) bersama tiga anaknya menjana hampir AS$1 juta (RM3.1 juta) dalam satu lelongan di Amerika Syarikat.



Dikendalikan oleh firma Lelongan Julien's kelmarin, perolehan tersebut jauh lebih besar berbanding anggaran prajualan cuma AS$400,000 (RM1.2 juta).

Antara barangan menarik termasuk sekeping papan hitam yang pernah digunakan oleh anak-anak Jackson untuk menulis ungkapan "Saya sayang ayah," yang dijual pada harga AS$5,000 (RM15,885) dalam lelongan tersebut.

Sebuah meja tulis yang digunakan oleh Jackson turut mencatat harga jualan tinggi iaitu AS$25,750 (RM81,807).

Lelongan tersebut menampilkan pelbagai barangan termasuk perabot, hasil seni dan kelengkapan rumah yang terdapat di sebuah rumah agam beralamat 100 North Carolwood Drive di sini.

Jackson menyewa kediaman itu semasa melakukan persediaan untuk siri konsert kemunculan semulanya di London sebelum dia meninggal dunia pada Jun, 2009.