Berkhatan Bukan Untuk Orang Islam Sahaja

Majlis berkhatan membabitkan 39 kanak-kanak anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) di Wisma Rozali di Shah Alam semalam menjadi istimewa apabila salah seorang daripada mereka ialah budak Cina berusia tujuh tahun.



Ng Jun Hau yang ditemani bapa, Ng Wai Hoong, 43, dan ibu, Pauline Wong, 37, tersenyum sepanjang tempoh berada dalam bilik berkhatan dengan dikendalikan oleh doktor Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Mula-mula saya rasa takut tetapi hari ini (semalam) rasa seronok," ujarnya.

Wai Hoong berkata, keluarga mereka bersetuju mengkhatankan Jun Hau kerana selama ini mereka sering bergaul bersama masyarakat Melayu dan membuatkan dia rasa teruja untuk melibatkan anak lelaki tunggalnya itu dalam majlis tersebut.

Katanya, selain faktor kebersihan, berkhatan juga sebenarnya baik untuk kesihatan-kosmo

Dibawah sedikit info tentang kebaikan amalan berkhatan.

Sesungguhnya setiap amalan dalam Islam tentunya mempunyai hikmahnya. Biarpun Allah tidak menjelaskan secara khusus hikmahnya tetapi daripada kajian sainstifik yang dilakukan pakar yang berkaitan menemui kebaikan mengapa amalan itu diperintahkan. Amalan berkhatan di kalangan kanak-kanak lelaki mempunyai kebaikan yang diakui pakar kesihatan.

Berkhatan lelaki melibatkan pemotongan hujung kulit kulup zakar atau kulit yang menutup bahagian penghujung zakar. Dengan berkhatan zakar akan terhindar daripada terkumpulnya kotoran dan mengelak timbulnya bau yang tidak menyenangkan.

Tempat itu mudah menjadi tempat pembiakan dan merebaknya penyakit berkaitan seks seperti siplis, gonorhea dan Aids. Berkhatan juga dipercayai dapat mengurangkan risiko lelaki mengidap penyakit kanser zakar.

Bahkan, lelaki berkhatan juga mengurangkan kemungkinan pasangan perempuan daripada menghadapi masalah salur reproduktif seperti jangkitan dan kanser pangkal rahim. Lelaki berkhatan juga lebih memberi kepuasan kepada perempuan semasa melakukan hubungan seks.

Tinjauan yang pernah dijalankan di Amerika Syarikat pada awal 1980 terhadap perempuan yang mempunyai banyak teman lelaki yang berkhatan dan tidak, kira-kira 90 peratus menyatakan yang mereka memilih pasangan yang berkhatan.

Berkhatan juga sebenarnya diamalkan dalam agama Kristian dan Yahudi. Mengikut Genesis 17, ayat ke 9 - 11 dari kitab Injil (Bible), berkhatan mula dilakukan pada zaman Nabi Ibrahim sebagai suatu ikatan perjanjian antara Tuhan dengan baginda yang melibatkan pemotongan sebahagian kulit dari tubuh badan. Maka difikirkan bahawa bahagian kulup yang tidak ada sebarang fungsi difikirkan bahagian yang paling sesuai dipotong.

Mengikut satu perangkaan, di seluruh dunia satu dari enam orang lelaki dikhatankan, dan setiap tahun dianggarkan sejumlah 15 juta prosedur berkhatan dijalankan.

Selain memenuhi tuntutan agama, kesedaran mengenai kebaikan berkhatan telah mendorong ramai lelaki moden melakukan amalan itu. Bilangan lelaki berkhatan semakin bertambah terutama di negara maju dan semakin diterima di negara sedang membangun di rantau Asia.

Sekarang ini telah timbul kesedaran di kalangan ibu bapa untuk mengkhatankan anak lelaki ketika usia beberapa hari. Proses ini dikatakan lebih mudah dan selamat. Kanak-kanak yang dikhatankan ketika usia bayi mempunyai risiko lebih rendah daripada jangkitan saluran kencing. Tabiat kencing malam juga kurang dialami kanak-kanak dikhatankan ketika usia bayi.

Lelaki berkhatan turut mendapat kebaikan berkaitan hubungan seks. Zakar yang tidak ditutupi kulit kulup lebih 'selesa' dan tidak mengalami gangguan ketika melakukan hubungan seks. Ini juga dapat mengelak kes kecederaan zakar

Jelas sekali, semua peraturan yang ditetapkan dalam Islam memberi kebaikan. Tidak benar jika dikatakan amalan itu satu bentuk penyeksaan. Ada pihak menakut-nakutkan orang bukan Islam agar tidak memeluk Islam dengan alasan penderitaan yang terpaksa ditanggung semasa berkhatan.