Harga Ikan Terkini Melambung Tinggi

Harga ikan di seluruh negara dijangka melambung tinggi sehingga Februari tahun hadapan setelah mengalami kenaikan mendadak sejak sebulan lalu ekoran musim tengkujuh yang dihadapi ketika ini.




Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Mohamed Dolmat (gambar) berkata, peningkatan harga ikan tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan musim hujan membuatkan sebahagian besar para nelayan tidak boleh turun ke laut seperti biasa.

Jelasnya, keadaan itu telah menyebabkan jumlah tangkapan ikan menurun dan menjadi punca ikan dijual pada harga yang tinggi di pasaran.

“Masalah ini akan membelenggu pengguna sehingga bulan Februari tahun hadapan kerana musim tengkujuh yang dihadapi sejak Oktober lalu hanya akan berakhir pada bulan berkenaan.

“Jadi, orang ramai yang bergantung harap kepada ikan disarankan menggantikan ia dengan bahan lain seperti ayam jika tidak sanggup membeli ikan dengan harga yang mahal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengenai rungutan orang ramai mengenai kenaikan mendadak harga ikan di pasaran ketika ini.

Dalam satu tinjauan di Alor Setar mendapati, harga ikan kembung naik mendadak apabila ia dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding hanya RM3 sebelum ini malah ia turut dijual setinggi RM12 di sesetengah kawasan.

Seorang peniaga, Ali Harun, 43, berkata, cuaca yang tidak menentu menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut dan terpaksa dia mendapatkan bekalan ikan dari Kuala Kedah namun dengan jumlah yang kecil iaitu hanya 60 kilogram sehari berbanding 500 kilogram sebelum ini.