Hospital Terbakar Di India 73 Maut

Kolkata, India sekurang-kurangnya73 orang mati apabila apabila sebuah hospital 7 tingkat di bandar timur India Kolkata itu tebakar.( Jumlah terkini 89 orang maut)



Mereka memberitahu, kakitangan perubatan bertempiaran lari menyelamatkan diri dan meninggalkan pesakit mereka dalam kebakaran besar itu.

Polis menangkap enam pegawai hospital atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian pesakit mereka.

Pihak pengurusan hospital berkenaan bagaimanapun menafikan berlaku sebarang pelanggaran langkah keselamatan dalam tragedi tersebut.

"Adalah menakutkan untuk melihat pihak berkuasa hospital tidak melakukan usaha untuk menyelamatkan pesakit yang terperangkap," kata menteri kesihatan awam negeri Bengal Barat Subrata Mukherjee.

"Pegawai-pegawai kanan hospital terbabit bertempiaran lari selepas api mula merebak," tambahnya.




Ketika api sedang marak, petugas-petugas penyelamat yang menggunakan tangga bertindak memecahkan tingkap di tingkat atas Hospital Amri untuk mengeluarkan sejumlah pesakit yang terperangkap.

Pasukan petugas penyelamat membawa pesakit yang diselamatkan dengan menggunakan pengusung dan kerusi roda ke sebuah hospital berdekatan.

Seorang pesakit, Moon Moon Chakraborty yang dirawat kerana patah pergelangan kaki, menelefon suaminya, S. Chakraborty yang berada di rumah untuk memberitahu bahawa hospital itu terbakar.

"Dia meninggal dunia apabila saya tiba di hospital berkenaan," kata suaminya.

Pasukan penyelamat mengeluarkan 73 mayat dari bangunan hospital berkenaan dengan kebanyakan mangsa dipercayai maut kerana sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Seorang pegawai kanan polis di sini Danayati Sen memberitahu, seramai 16 lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami.

Seorang saksi memberitahu, beberapa belas kereta bomba tiba di tempat kejadian lebih sejam selepas kebakaran berlaku.

Kebakaran itu tercetus sekitar pukul 3.30 pagi waktu tempatan di tingkat bawah tanah Hospital AMRI dengan asap tebal meliputi bangunan tersebut.

Punca kebakaran masih disiasat pihak berkuasa. - Agensi