Kapal Selam Nuklear Rusia Terbakar

MOSCOW - Tentera Rusia menyatakan sejumlah kru sebuah kapal selam nuklear yang terbakar masih berada di dalam kapal selam berkenaan manakala tujuh lagi dihantar ke hospital selepas terhidu asap beracun.


Kementerian Pertahanan Rusia memberitahu, tiada kebocoran radiasi dalam kebakaran yang berlaku kelmarin di sebuah limbungan kapal di wilayah Murmansk.

Ketika kejadian, kapal selam terbabit, Yekaterinburg ditempatkan di sebuah limbungan kering di lokasi berkenaan.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu semalam.

Pihak tentera dalam satu kenyataan memberitahu, api bermula di sebuah perancah kayu di limbungan berkenaan sebelum merebak ke bahagian badan kapal selam tersebut.

Menurut kenyataan sama, reaktor kapal selam nuklear Yekaterinburg telah dimatikan manakala 16 buah peluru berpandu nuklear telah dikeluarkan sebelum ia dibaikpulih di limbungan itu.

Pada 18 Ogos 2000, kapal selam nuklear Rusia, Kursk tenggelam di Laut Barents selepas berlaku letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran pada sistem bahan api yang merebak ke tempat simpanan peluru torpedo kapal selam berkenaan.

Semua 118 kru kapal selam sepanjang 154 meter dengan berat sekitar 16 tan itu terbunuh dalam insiden tersebut. - Agensi