Kenali Cristina Suzanne Stockstill

Kehadiran pelakon-pelakon wanita yang berdarah kacukan sememangnya bukanlah sesuatu perkara asing di dalam industri hiburan tempatan. Dengan memiliki wajah yang jelita, ia seolah-olah menjadi platform untuk mereka menceburi dunia lakonan.




Bermula dengan kemunculan pelakon kacukan seperti Julia Rais dan Ramona Rahman sekitar tahun 80-an, kini pelakon seperti Diana Danielle, Juliana Evans dan Siti Saleha terus menjadi pilihan pengarah untuk muncul dalam sesebuah drama atau filem.

Biarpun ada tanggapan segelintir pihak yang merasakan pelakon berdarah kacukan ini sekadar bergantung harap kepada paras rupa jelita semata-mata, tetapi ada segelintirnya yang memang berbakat sebagai seorang pelakon.

Itulah juga yang terpaksa dilalui oleh pendatang baharu iaitu Cristina Suzanne Stockstill, seorang lagi pelakon berdarah kacukan yang sedang mula mencipta nama dalam dunia seni.

Menceritakan tentang pembabitan awalnya sebagai anak seni, pelakon yang dikenali sebagai Cristina Suzanne ini memberitahu pembabitannya dalam dunia lakonan bermula pada bulan Mac yang lalu.

"Sebenarnya saya merupakan bekas peserta rancangan realiti televisyen Pilih Kasih untuk musim yang kedua. Namun, perjuangan saya dalam rancangan itu berakhir setelah tersingkir pada minggu kelapan. Tidak dinafikan selepas menyertai Pilih Kasih, tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah. Antaranya Kasih Najihah, Dia Bukan Maryam, Sentuhan Isabella dan yang terbaharu adalah menerusi drama bersiri 26 episod iaitu Bicara Hati," ujar anak kedua dari tiga beradik ini.

Tambah Cristina, bagi mengejar impiannya untuk bergelar seorang anak seni, dia telah mengambil keputusan yang drastik dengan berhenti daripada pekerjaannya sebagai seorang pramugari.

Ujarnya, tempoh selama tujuh tahun berkecimpung dalam kerjaya di awan biru bersama syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways dirasakan sudah memberi kepuasan buat dirinya.

Selepas berhenti kerja, dia nekad untuk membuka laluan baharu dalam hidupnya. Mengaku mula teruja dengan dunia baharu ini, biar masih mentah, sudah banyak tawaran yang diterima, bukan sahaja untuk menghias produk televisyen, tapi juga pelaris di panggung wayang.

Dia bakal muncul dengan sebuah filem berjudul KIL yang dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan. Dalam filem tersebut, dia digandingkan dengan Redza Minhat.

"Sekarang ini lakonan adalah kerjaya utama dan saya memang betul-betul mahu serius dalam bidang ini. Sebagai seorang pendatang baharu, saya tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak yang diberikan," ujarnya.

Ditanya tentang pembabitannya yang agak lewat dalam bidang lakonan iaitu pada usia yang sudah mencecah 26 tahun, pelakon itu menjelaskan dia tidak menjadikan perkara tersebut satu masalah besar dan sentiasa berfikiran positif.

"Tidak kisah sama ada saya cepat atau lambat berkecimpung dalam bidang ini, apa yang lebih penting adalah saya perlu lebih bekerja keras dan fokus serta tidak mahu terlalu selektif dalam memilih sebarang tawaran yang diterima," jelasnya.

Tidak bersaing

Sebagai seorang pendatang baharu yang mempunyai raut wajah jelita dan sememangnya menjadi salah satu pakej untuk bergelar pelakon, pastinya kehadiran Cristina bakal memberikan saingan kepada pelakon wanita yang sedia ada.

Pada masa yang sama, pelakon itu juga pastinya tidak dapat menolak tanggapan segelintir pihak yang akan mengatakan dia sekadar mempertaruhkan kecantikannya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.

"Pembabitan saya dalam bidang ini bukanlah mahu bersaing dengan mana-mana pelakon wanita yang lain. Sebenarnya lakonan adalah bidang yang saya cukup minati dan sudah tentu saya perlu memberikan yang terbaik dengan peluang yang diberikan ini.

BARISAN karyawan drama Bicara Hati bergambar bersama selepas sidang akhbar berlangsung di AmpWalk Jalan Ampang, Selangor.

"Lagipun tidak pernah terlintas di fikiran saya langsung untuk merangkul sebarang anugerah yang dipertandingkan. Bagi saya asalkan tawaran berlakon itu sentiasa ada, itu sudah memberikan satu kepuasan dalam diri saya," jelasnya.

Mengenai stigma sesetengah orang tentang pelakon cantik sepertinya yang bersandarkan rupa semata-mata, dia mahu membuktikan yang dirinya mampu untuk menjadi seorang pelakon yang bagus.

"Tidak semestinya pelakon seperti saya ini perlu membawakan watak seorang gadis yang urban. Macam dalam drama Bicara Hati, saya hanya membawakan watak seorang gadis kampung.

"Namun, saya amat bersyukur kerana sebagai seorang pelakon baharu, saya telah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pengarah yang hebat seperti Osman Ali dalam usaha untuk memantapkan lagi mutu lakonan saya.

Nama sebenar

Dalam rancangan Pilih Kasih 2, Cristina menjelaskan dia tidak menggunakan nama sebenarnya ketika menjadi peserta, sebaliknya dia lebih dikenali sebagai Kristina Cempaka.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan menjelaskan sebaik sahaja rancangan tersebut berakhir pada bulan Februari lalu, dia mengambil keputusan untuk menggunakan nama asalnya.

"Semasa saya menyertai Pilih Kasih 2 sebelum ini, saya ada berbincang dengan abang Rosyam tentang pemilihan nama yang sesuai. Kemudian saya bercadang untuk menggunakan nama Kristina Cempaka.

"Tentang pemilihan nama Cempaka pula, idea tersebut timbul kerana saya dan ibu sememangnya sangat menggemari bunga cempaka. Akhirnya saya ambil keputusan untuk gunakan nama itu sepanjang saya berada dalam rancangan tersebut," jelasnya.

Namun begitu, pelakon yang turut berkecimpung dalam bidang peragaan itu memberitahu dia kini lebih selesa untuk menggunakan nama Cristina Suzanne dan merasakan nama itu lebih sesuai untuk dirinya.

"Saya tidak bermaksud nama yang digunakan dalam rancangan Pilih Kasih 2 itu tidak menarik. Namun, tidak salah kalau saya gunakan nama sebenar yang diberikan oleh ibu bapa saya sendiri," ujarnya.

Profile Cristina Suzanne Stockstill.

Nama: Cristina Suzanne Stockstill
Panggilan: Cristina
Tarikh Lahir: 22 Januari 1985
Usia: 26 tahun
Keturunan: Melayu/Jerman
Agama: Islam
Drama: Kasih Najihah (TV9), Dia Bukan Maryam (TV9), Cermin Pada Bulan (TV3)
Filem Bebas: Kil (2011) dan My Indie Rock Darling (2006)

Biography
Model, Actress, Host, and loves to sing in the shower.
Personal Interests
Interests: Hiking, Photography, Camping, Eating, and a nice cup of tea.
Music: Coldplay, A Fine Frenzy, Camera Obscura, Ruth Sahanaya, Julie London, Sheila Majid, Acker Bilk, Cesária Évora, Broken Social Scene, Al Green, etc.