Sinopsis Jidin Sengal Movie 2012

JIDIN SENGAL adalah sebuah filem sekejap komedi sekejap romantik yang menceritakan tentang dunia 'glamour' (atau lebih tepat 'tempias'nya saja) pelakon-pelakon ekstra industri filem kita. Ia mengupas realiti kehidupan kisah anak-anak muda yang bermacam ragam dan gaya dalam mengharungi saat suka-duka untuk mencipta nama di dalam dunia hiburan.



Jidin seorang kanak-kanak yang meminati bidang lakonan dan hiburan, berkawan rapat dengan Piah, seorang kanak-kanak yang suka berlakon, dan juga menjadi 'cinta hati' Jidin.

Harapan Jidin untuk bersama Piah musnah apabila mereka tiba-tiba terpaksa berpisah. Sehingga dewasa, Jidin masih menginginkan Piah. Nekad untuk mencari cinta hatinya, Jidin berhijrah ke bandar, dan bertemu dengan Bob Dobot, seorang pelakon ekstraq yang sudah lama bertapak dalam industri.

Mereka berkawan baik, dan Bob menjadi 'sifu' kepada Jidin yang cetek ilmu dalam bidang lakonan. Berbadan gempal dan berkeyakinan tinggi, Bob masih menanti 'big break'nya untuk menjadi pelakon terkenal, atau paling tidak pun, pelakon pembantu berdialog.

Satu hari, dengan bantuan Jay-Z, seorang kawan dan pengamal gaya hidup hip-hop ala Terengganu, Jidin dan Bob Dobot mendapat peluang berlakon filem. Iskandar, seorang pelakon ekstra 'otai' yang juga ejen pembekal pelakon ekstra yang stylo dan poyo, sentiasa menjadi duri dalam daging buat Bob dan Jidin. Di lokasi penggambaran, Jidin bertemu Amy, seorang pembantu pengarah yang disangkanya Piah. Amy pada mulanya membenci Jidin, tetapi berubah hati setelah melihat bakat dan keikhlasan Jidin. Walaupun tidak pernah terlafaz, hakikatnya mereka sudah mula jatuh cinta. Di waktu inilah, Piah yang 'original' muncul dalam hidup Jidin.



Ella Sunti, pelakon wanita idola rakyat Malaysia dan menjadi kegilaan ramai lelaki, juga berlakon di produksi filem yang sama. Tetapi, untuk menjadi idola dan mengekalkan imej bersih bukanlah satu perkara mudah. Ella Sunti sebenarnya menyimpan satu rahsia yang bakal mengubah hidup Jidin.

Apakah kesudahan cinta Jidin terhadap Piah dan Amy? Dan dapatkah Jidin dan Bob menawan cita-cita mengejar impian di dalam dunia hiburan yang kononnya penuh "glamor" ini?