Belajar Silap Mata Paling Mudah

Adakah anda sangat taksub dengan teknik-teknik silap mata yang mengkagumkan. Adakah anda ingin mempelajarinya. sekarang apakata kita cuba dahulu teknik-teknik mudah dibawah..












Jika diatas agak susah, cubalah belajar seperti anda seorang profesional.. lihatlah video dibawah ini pula..




Tips untuk menjadi seorang ahli silap mata yang berjaya..

1) Jangan sesekali membongkarkan rahsia persembahan !

Jika anda tidak pernah mempelajari silap mata sekalipun, anda mungkin sering mendengar kenyataan berikut : "Jangan beritahu bagaimana anda melakukan sesuatu silap mata".

Bunyinya agak mudah. Ini kerana sesuatu ilmu yang anda perolehi bukan mudah untuk anda menguasainya. Biarlah orang berkata kepada anda seperti : "Kedekut ilmulah dia !" atau "Takkan ajar pun tak boleh ?". Manusia memang inginkan sesuatu yang mudah sehingga kadangkala tidak mahu berusaha. Ada ilmu yang boleh kita ajar dengan mudah dan percuma, tetapi ilmu seni silap mata tidak semua orang boleh menguasainya. Kadangkala manusia mudah bercakap seperti : "Setakat persembahan macam tu, aku pun boleh buat !" atau "Alah ! Dah biasa tengok pun persembahan macam tu !"... Sebagai seorang yang mengamalkan bidang ini, biarlah apa yang orang lain ingin suarakan terhadap anda. Jika mereka ingin mengetahui bagaimana rahsia anda melakukan sesuatu persembahan, mintalah mereka berkorban sedikit wang ringgit untuk memperolehi idea yang anda miliki.

2) Jangan ulangi persembahan yang sama

Tidak kira berapa ramai orang membayar anda, jangan sesekali mengulangi persembahan atau permainan yang sama lebih dua kali di tempat yang sama. Ini kerana untuk mengelakkan para audiens berasa bosan dan apa yang lebih penting supaya audiens tidak mengetahui rahsia persembahan anda. Seandainya anda sudah menjangka untuk mengadakan persembahan di tempat serta audiens adalah sama, maka gunakanlah persembahan atau kaedah yang lain pula !

3) Tahu di mana untuk memulakan persembahan

Jika anda baru belajar bidang ini, jangan terus bercita-cita untuk menunjukkan persembahan anda kepada audiens yang ramai. Memadai jika anda meminta rakan atau kaum keluarga anda untuk menilai anda terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan terdapat banyak kesilapan akan berlaku di awal pertunjukan anda. Perkara ini akan memalukan anda jika terburu-buru untuk menunjukkan kemahiran anda di hadapan khalayak ramai jika kesilapan tidak diperbaiki terlebih dahulu.

Jika beraksi di khalayak yang ramai, anda perlulah sentiasa tenang dan bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku. Sekiranya anda berada di kawasan awam yang lapang, jangan sesekali anda memaksa orang ramai untuk menyaksikan persembahan anda.

Ingat ! Lakukan pertunjukan atau persembahan hanya jika anda diminta berbuat demikian ! Jangan sesekali menunjuk-nunjuk dengan kemahiran yang dimiliki !

4) Tahu di mana untuk menamatkan persembahan anda

Setelah anda mengetahui di mana anda perlu memulakan persembahan, maka amat perlu juga untuk mengetahui di manakah anda perlu menamatkan persembahan anda ! Anda tidak digalakkan untuk berhenti terlalu awal. Walau bagaimanapun, jika anda telah melakukan hanya satu persembahan dan berhenti, ianya boleh diumpamakan satu langkah yang bijak. Ini kerana anda akan membuatkan para audiens tertanya-tanya apakah persembahan anda yang berikutnya. Jika anda melakukan tiga persembahan berturut-turut tetapi tidak mendatangkan impak yang besar kepada audiens, ianya menunjukkan anda gagal sebenarnya. Jika anda berupaya mempersembahkan 45 persembahan sekalipun, tetapi audiens tidak menunjukkan minat pun tidak ada gunanya. Di sini, anda perlu tahu di mana anda harus berhenti atau menamatkan sesuatu persembahan anda. Jangan sampai ada di antara penonton menjerit kepada anda dan berkata : "Baliklah ! Bosanlah !"

5) Menjaga hati serta menambah keyakinan terhadap audiens anda

Perkara ini paling penting kerana tanpa audiens, siapalah anda. Merekalah yang berhak menilai adakah persembahan anda hebat atau sebaliknya. Mereka jugalah yang berhak untuk berasa bosan, terhibur atau kagum dengan persembahan anda. Sesuatu yang sangat penting dalam membuat sebarang pertunjukan atau persembahan ialah jangan menghina atau mentertawakan audiens anda. Jika perkara ini berlaku, anda sudah pasti tidak akan diminati serta boleh mendatangkan kebencian di hati audiens.

Harus diingat bahawa audiens adalah penyokong ketika anda berada di atas pentas. Mereka akan bertepuk tangan tanda mengkagumi persembahan anda dan mereka berhak ketawa jika persembahan anda mencuit hati. Memang sudah menjadi lumrah seseorang audiens untuk memuji atau mengkritik persembahan anda. Di sini, anda harus bijak berkomunikasi serta perlu peka terhadap sensitiviti mana-mana audiens.

Seandainya anda membabitkan mana-mana audiens secara langsung dalam persembahan yang dilakukan, jangan lupa mengucapkan "Terima kasih" kerana mereka telah membantu menjayakan persembahan anda. Perkataan itu secara tidak langsung akan membuatkan seseorang audiens berasa dihargai dan akan terus mengikuti persembahan anda dari awal sehingga selesai. Malah, tidak mustahil audiens tersebut akan hadir di mana sahaja anda membuat persembahan...

6) Sesuaikan pertunjukan anda untuk sesiapa sahaja yang menjadi penonton

Untuk menjadi seorang ahli silap mata yang dikagumi, anda haruslah menjadi seorang manusia yang serba boleh. Bukan hanya tahu bermain silap mata, malah menjadi seorang pelawak serta penghibur di atas pentas. Terdapat tiga kategori penonton utama yang sering menyaksikan persembahan silap mata iaitu :

i. Mereka yang sudah mengetahui tentang silap mata

Bagi golongan ini anda perlu berhati-hati kerana mereka sudah sedia mengetahui tentang ilmu silap mata. Golongan ini memang sukar untuk diuji dengan persembahan yang terlalu mudah. Mereka akan datang untuk menyaksikan kelainan dalam persembahan anda.

ii. Mereka yang hadir dari negara berbeza dengan anda

Ini khususnya bagi permainan silap mata menggunakan kad di mana dalam kad ada empat bentuk yang utama iaitu "Clubs, Hearts, Diamonds dan Spades". Bagi penonton dari negara yang tidak memahami bahasa yang anda gunakan, anda perlu memberi keyakinan supaya mereka tidak berasa diperbodohkan.

iii. Penonton yang ingin berhibur dan ingin menyaksikan sesuatu yang luar biasa dari anda

Sebagai contoh anda mengadakan persembahan di sebuah pusat membeli-belah dan terdapat ramai penonton menyaksikan persembahan anda. Di dalam puluhan mungkin ratusan penonton yang menyaksikan persembahan anda, mungkin 80% daripadanya tergerak hati untuk melihat sesuatu yang luar biasa di atas pentas. Tujuan utama mereka adalah untuk membeli-belah tetapi jika anda bijak membuat persembahan, ada ketikanya mereka akan leka dan lupa untuk membeli barangan yang ingin dicari.

Di sini, apabila anda sudah membuat analisis mengenai siapakah yang akan menjadi penonton, anda harus bijak menyesuaikan jenis persembahan yang akan dipersembahkan. Jarak serta kedudukan anda dengan seseorang penonton juga harus dijaga. Ini kerana jika terdapat penonton yang terlalu hampir, ianya akan menyukarkan pergerakan tangan serta merencatkan kualiti persembahan anda.

7) Kuasai satu silap mata lebih baik daripada ghairah menguasai sepuluh silap mata yang sukar dikuasai

Memang tidak dapat dinafikan bahawa 99% daripada anda mempunyai keinginan yang kuat untuk menguasai seberapa banyak silap mata dalam satu masa. Belum sempurna satu silap mata, anda sudah mahu menguasai silap mata yang lain. Sekiranya ingin menjadi seorang pakar dalam bidang ini, anda harus menumpukan satu-satu peringkat terlebih dahulu.

Peringkat pertama, anda harus belajar silap mata yang mudah seperti asas-asas bermain kad (daun terup), duit syiling atau objek-objek yang terdapat di persekitaran anda. Jika anda ingin menjadi seorang pakar dalam bermain kad, tumpukan sepenuh perhatian dalam permainan kad. Daripada asas memegang kad sehingga anda mahir bermain silap mata dengan kad perlu dikuasai terlebih dahulu.

Peringkat kedua, anda perlu mengenal identiti anda sebagai seorang ahli silap mata. Sebagai contoh jika anda cenderung untuk bermain dengan kad, maka tumpukan sepenuh perhatian anda dalam bidang ini. Harus diingat juga bahawa hampir 99% ahli silap mata di dunia mula mengenali silap mata dengan belajar bermain dengan kad. Oleh yang demikian ada di antara ahli silap mata memang terkenal dengan permainan kad seperti Dai Vernon, Harry Lorayne, Aldo Colombini, Juan Tamariz, Daryl, Michael Ammar dan ramai lagi yang tidak dapat disebutkan di sini. Siapa tahu suatu hari nanti, anda juga adalah salah seorang dari mereka...

Kesimpulan yang dapat dibuat di sini ialah jangan terburu-buru untuk menguasai lebih daripada satu silap mata jika yang sedia ada tidak mampu dikuasai dengan baik. Jika anda kerap diundang untuk mengadakan persembahan tidak mengapa kerana anda adalah seorang pakar dalam silap mata.

8) Teruskan kreativiti dan jangan mudah berbangga dengan pencapaian yang ada

Sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari dari sebarang kesilapan, ada ketikanya kesilapan dalam persembahan tidak dapat dielakkan. Malah, ada ketikanya penonton akan menjerit serta memperli setiap kesilapan yang jelas kelihatan pada pandangan mata kasar mereka. Di sini, proses belajar dari kesilapan perlu untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

Dari semasa ke semasa anda akan semakin matang dalam persembahan jika belajar dari kesilapan. Sikap yang perlu ada dalam diri ialah terus mempertingkatkan kreativiti dalam mempelbagaikan persembahan anda. Jangan sesekali tanamkan sikap mudah berbangga dengan pencapaian yang sedia ada serta taksub dengan pujian melambung dari peminat anda. Jadikan DVD-DVD serta buku-buku berkaitan silap mata dan mentalism sebagai bahan rujukan untuk memperbanyakkan lagi ilmu anda dalam bidang ini.

Layari internet berkaitan ilmu silap mata serta mentalism juga penting untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran anda. Selain itu, anda juga perlu rajin mengkaji setiap persembahan yang dilakukan oleh ahli silap mata terkenal seperti David Copperfield, David Blaine, Jeff McBride, Lance Burton dan lain-lain lagi sebagai motivasi buat anda untuk terus menyintai bidang ini.

9) Bijak memainkan peranan serta menjaga imej anda

Di mana sahaja anda berada, jangan menunjuk-nunjuk kepada semua orang bahawa anda adalah seorang ahli silap mata atau mentalist. Jadilah seorang manusia yang mempunyai sifat rendah diri yang tinggi. Anda perlu bijak menyesuaikan diri di mana sahaja anda berada. Apabila anda berada di atas pentas untuk memulakan persembahan, anggaplah pentas itu adalah milik anda. Di situ, imej anda juga serta-merta akan berubah menjadi seorang manusia luar biasa yang bakal memukau para penonton yang ada.

Sebagai seorang ahli silap mata, percaya atau tidak anda mempunyai peminat serta pengikut tersendiri. Mereka kadangkala mengikuti perkembangan diri anda. Oleh yang demikian, jangan bersikap sombong terhadap peminat anda. Tanpa mereka, siapalah anda...

10) Anggap sesuatu silap mata yang anda lakukan sebagai satu anugerah buat anda

Meskipun anda sebenarnya telah meniru persembahan ahli silap mata terdahulu daripada anda, ingatlah bahawa setiap apa yang telah anda persembahkan adalah milik anda. Cuma anda perlu mempelbagaikan kaedah persembahan supaya tidak kelihatan 100% sama dengan persembahan sedia ada.

David Copperfield sendiri sebagai contoh sentiasa berusaha melakukan sesuatu yang lain dari yang lain untuk menempa nama sebagai legenda dalam dunia silap mata. Anda juga berhak untuk mencipta trade-mark anda sendiri dalam bidang ini. Jangan sesekali meniru bulat-bulat setiap persembahan sedia ada yang telah dipersembahkan oleh ahli silap mata terdahulu. Hayati dan fahamilah ungkapan yang cukup popular dari David Copperfield ini : "...the magic happens through me, and i'm in control"...

11) Sedia berkorban dari segi kewangan dan masa anda

Dalam apa juga perkara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, perkara ini tidak boleh diketepikan. Anda juga boleh bertanya kepada setiap pengamal silap mata atau mentalism, bagaimana mereka beroleh ilmu ini. Jawapan mereka sudah pasti ialah jangan takut untuk mengeluarkan wang untuk mempelajari sesuatu yang tidak dapat anda perolehi di sekolah atau universiti.

Ilmu silap mata atau mentalism paling mudah dipelajari menerusi DVD atau buku-buku berkaitan dengan bidang ini. Jika ada kesempatan, anda juga boleh berhubung terus dengan pakar-pakar dalam bidang ini untuk mendapatkan tips serta tunjuk ajar.

12) Jangan anggap negatif kritikan yang diberikan oleh peminat anda

Setiap manusia mempunyai pandangan tersendiri terhadap apa yang mereka dengar serta perhatikan. Jangan anggap kritikan yang dilemparkan sebagai batu loncatan untuk melemahkan semangat anda. Anggaplah kritikan tersebut sebagai sesuatu yang positif untuk kemajuan anda. Kita jarang dapat mengenal pasti kelemahan diri kita sebaliknya individu lain paling mudah untuk menilai kelebihan atau kelemahan kita. Melalui kritikan juga kita akan menjadi semakin matang. Sebaik-baiknya kita harus mengucapkan terima kasih terhadap setiap kritikan yang diberi. Untuk menjadi seorang ahli silap mata atau mentalist yang baik, kita harus mempunyai ramai rakan dan kenalan untuk berkongsi suka duka dalam apa juga bidang yang diceburi.