Bilik Wardina Diceroboh

Denyutan jantung pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot bagaikan terhenti seketika apabila dia yang terjaga daripada tidur selepas selimutnya direntap tiba-tiba ternampak kelibat tiga lelaki yang menutup muka berada dalam bilik tidurnya.



Semasa kejadian pada pukul 3 pagi itu, Wardina, 33, yang tidur seorang diri dalam bilik utama di rumahnya di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa di sini tidak mampu menjerit atau berbuat apa-apa kerana terlalu takut.

Sejurus selepas itu, artis terbabit mula sedar bahawa rumahnya telah dimasuki perompak dan saat itu ketakutannya bertambah kerana dikhuatiri dirinya atau ahli keluarga yang tidur di bilik lain akan diapa-apakan penjenayah itu.

"Saya terus berdoa agar tidak berlaku apa-apa yang buruk terhadap diri saya dan ahli keluarga saya," kata Wardina semasa menceritakan detik-detik cemas berhadapan dengan tiga perompak ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mengimbas pengalaman itu, Wardina berkata, ketiga-tiga penjenayah yang membawa kayu panjang, pemutar skru dan pemotong besi masuk ke rumahnya selepas mengumpil pintu belakang.

Wardina tidur seorang diri kerana demam. Suaminya, Ihkwan Johari, 37, tidur bersama anak bongsu lelakinya, Imran Ar-Razi, 3, di bilik lain di tingkat atas.

Dua anak perempuan pasangan itu, Amna Nafeesa, 8, dan Azra Fareera, 5, tidur bersama di sebuah bilik di tingkat atas manakala seorang saudara Wardina warga Aceh tidur di tingkat bawah.

"Ketika nyenyak tidur, tiba-tiba saya terjaga apabila terasa selimut direntap sebelum saya dengar orang arahkan saya bangun.

"Bila saya buka mata saya nampak ada tiga lelaki asing dalam bilik saya dengan dua lelaki sedang menyelongkar bilik," ceritanya lagi.

Perompak kemudian membawa ahli keluarganya ke bilik tersebut sebelum tangan suaminya diikat dengan wayar kabel komputer.

Wardina memberitahu, perompak tersebut yang bercakap loghat Indonesia beberapa kali mengugut dia dan suami supaya menyerahkan wang dan barang kemas.