Kapal Mewah Costa Concordia Terbalik

Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan empat lagi hilang semalam selepas sebuah kapal persiaran tersadai dan terbalik terbalik dekat sebuah pulau di perairan selatan Itali.



Kapal persiaran Costa Concordia sedang dalam perjalanan di sekitar Laut Mediterranean apabila ia terlanggar terumbu karang dekat Pulau Isola del Giglio, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali sekitar pukul 10 malam (waktu Itali) kelmarin.

Kemalangan berlaku ketika para penumpang sedang makan malam. Menurut media tempatan, beberapa penumpang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan, sebahagian daripada 3,200 penumpang dan 1,023 kru kapal sepanjang 290 meter itu dipindahkan dengan menggunakan beberapa buah bot kecemasan, helikopter dan kapal lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Berlaku senario panik seperti dalam kapal Titanic. Kapal kami melanggar kawasan berbatu dekat Pulau Isola del Giglio. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku. Kapten kapal ini tentunya sudah gila," kata seorang penumpang, Mara Parmegiani.

"Kami amat takut dan kesejukan kerana kemalangan berlaku semasa kami sedang makan malam. Kami tiada masa untuk membuat persediaan. Mereka (pasukan penyelamat) ada memberi selimut tetapi bilangannya tidak mencukupi," tambah Parmegiani.

Para penumpang yang dipindahkan dibawa ke pulau Giglio sebelum ditempatkan di beberapa buah sekolah, kediaman persendirian dan gereja untuk semalaman.

Agensi berita Itali, Ansa memetik beberapa petugas penyelamat sebagai memberitahu, sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala sejumlah lagi cedera tetapi punca kematian mereka tidak diketahui setakat ini.

Menurut Ansa, seorang lelaki berusia 70-an maut akibat serangan jantung selepas terjun ke dalam laut.

Seorang pengawal pantai tempatan, Francesco Paolillo berkata, terdapat lubang sebesar 30 meter pada badan kapal berkenaan.

Kapal Costa Concordia memiliki 58 bilik penginapan bertaraf suite lengkap dengan balkoni, 13 buah bar, lima jakuzi, lima restoran, dan empat kolam renang. - Agensi