Kelebihan Lelaki Tinggi

Ramai gadis-gadis mengimpikan lelaki yang tinggi sebagai teman istimewa di dalam hidup mereka dengan berfikiran lelaki tersebut boleh menjadi ‘perisai’ dan melindungi si gadis dari sebarang ancaman bahaya.



Malah, ada juga pendapat yang mengatakan lelaki tinggi sebelum ini lebih mudah mencari jodoh dan lebih berjaya di dalam kerjaya, kehidupan dan dalam institusi kekeluargaan.

Namun, satu kajian yang disiarkan di America Journal of Cardiology telah mendedahkan, lelaki tinggi juga kurang berisiko menghidapi masalah jantung!

Menurut satu kajian oleh penyelidik di Universiti Harvard, lelaki yang mempunyai ketinggian lebih 1.8 meter adalah 24 peratus kurang berisiko menghidapi masalah jantung berbanding lelaki pendek.

Untuk memastikan kesahihan dakwaan itu, kajian itu telah dilakukan terhadap 22,000 doktor lelaki yang dalam lingkungan usia pertengahan 50-an dan kesihatan ke semua responden dipantau dalam tempoh selama 22 tahun.

Ke semua responden yang terlibat diminta mengisi borang soal selidik mengenai ketinggian, berat badan dan kesihatan am serta perlu mengemaskini maklumat mereka itu setiap tahun.

Di penghujung kajian tersebut mendapati, seramai 1,444 atau tujuh peratus daripada responden menghidapi masalah jantung!

Bagaimanapun, lelaki yang mempunyai ketinggian 1.8 meter atau lebih, didapati 24 peratus kurang cederung menghidapi masalah jantung berbanding lelaki yang mempunyai ketinggian 1.72 meter atau kurang daripadanya.

Bukan itu sahaja, keputusan itu diperoleh selepas mengambil kira beberapa kriteria lain seperti umur, berat badan dan tekanan darah tinggi.

Kumpulan penyelidik itu berpendapat, tidak dinafikan antara punca risiko sakit jantung di kalangan lelaki pendek disebabkan oleh penyakit zaman kanak-kanak yang membantutkan pertumbuhan mereka.



Oleh itu, ia boleh membawa kepada pengumpulan plak di arteri dan menyebabkan tekanan darah tinggi ketika dewasa.

Penyelidik itu turut berpendapat bahawa biologi lelaki yang lebih tinggi juga menyebabkan mereka kurang menghidapi masalah jantung.

Tetapi, ini hanyalah kajian yang cuba dilakukan untuk mengkaji sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

Mungkin bagi penyelidik terbabit, ‘hipotesis’ awal itu membawa kebenaran dalam persoalan yang dia sendiri timbulkan.

Bagi kita rakyat Malaysia, seharusnya kita mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga kesihatan tubuh badan kita walaupun berlainan jantina supaya dapat menggelakan diri dari ‘terhinggapnya’ penyakit yang serius.