Manusia Mesti Pindah ke Planet Lain

Ahli fizik tersohor, Stephen Hawking jatuh sakit dan terlalu lemah untuk menghadiri persidangan bagi meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-70 kelmarin tetapi dalam satu rakaman mesej, beliau mengulangi gesaan agar manusia menjelajah dan menakluki planet lain.




Naib Canselor Universiti Cambridge, Leszek Borysiewicz memberitahu hadirin bahawa Hawking yang hampir lumpuh sepenuhnya kerana menghidap penyakit saraf Lou Gehrig, telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.

Namun, dalam ucapan beliau yang dirakam, Hawking merayu agar manusia menjelajah planet lain kerana percaya mereka berdepan masa depan yang suram di Bumi.

"Saya tidak fikir kita (manusia sejagat) akan dapat terus hidup untuk 1,000 tahun akan datang tanpa menjelajah keluar dari planet Bumi yang rapuh ini," katanya.