Misteri Ribut Matahari 2012

Benarkah ramalan yang mengatakan 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat..? Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).




Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.


Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.



"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.

Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.

RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.

Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.



"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.