Belajar Pergerakan Silat

Silat adalah warisan seni mempertahankan diri orang Melayu. Silat dikenali di seluruh rantau asia dan dipraktikkan oleh orang Melayu Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan negara di sekitarnya.

Silat cekak



Memandangkan silat Melayu di Malaysia mempunyai pelbagai nama dan pertubuhan. Semua pertubuhan silat adalah bagus dan mempunyai kekuatan masing-masing. Walau apapun pertubuhan silat yang anak Melayu masuk, apa yang lebih penting ialah generasi muda belajar dan warisi seni silat bangsa sendiri.

Silat bukan sahaja mengajar kita mempertahankan diri, malah mengajak kita mendekatkan diri kepada tuhan, menyihatkan tubuh badan, mendisiplin dan mempertingkatkan keyakinan diri serta membentuk ukhwah sesama insan. Belajarlah silat Melayu asli dan pilihlah mana-mana yang sesuai dengan agama dan adat resam budaya Melayu.

Dewasa ini banyak berlaku kes ragut dan ancaman pukul kepada diri sendiri. Apabila menempuh keadaan sedemikian, jangan panik dan fikirkan apa yang harus dilakukan. Sesiapa yang belajar silat akan lebih tenang dan tahu apa yang harus dibuat. Tunggu pergerakan lawan adalah perkara asas; elak atau kunci dan beri buah pukulan adalah gerakan seterusnya.

Sebelum membela diri, kita harus belajar cara memperkemaskan tapak kedudukan terlebih dahulu. Kedudukan tapak yang kukuh adalah penting dalam asas membela diri silat Melayu. Perkara kedua ialah seni pergerakan silat (tangan kosong). Apabila diserang, bagaimana kita harus menangkap, memukul, membuang dan melepaskan segala bentuk serangan. Perkara ketiga ialah bermain senjata atau seni keris, iaitu mempelajari seni tikaman.

Banyak lagi seni silat yang ada dan harus dipelajari. Ibarat, mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Silat sememangnya sinonim dengan Melayu. Belajarlah dan warisinya agar dapat diturunkan ke generasi anak-anak kita.