Cara Rasulullah S.A.W Mengambil Wudhuk

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali.

Cara Ambil Wudhuk

Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali.

Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .

Huraian Hadith:
Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.