Eropah Dilanda Cuaca Sejuk Melampau

Angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di seluruh Eropah telah meningkat lebih 260 orang dan lebih beratus-ratus orang pula perlu diselamatkan dari sebuah feri yang terlanggar benteng semasa ribut salji di Itali.



Suasana panik berlaku ke atas 262 penumpang feri yang takut tragedi kapal pesiaran Costa Concordia berulang lagi selepas ia terlanggar batu dekat Pulau Giglio, Itali pada 13 Januari lalu.

Di Ukraine, angka kematian meningkat kepada 122 orang, termasuk ramai yang mati di jalan raya akibat suhu menjunam serendah -38.1 darjah Celsius.

Semua lapangan terbang telah ditutup, semua penerbangan dan perjalanan kereta api turut ditangguhkan dan lebuh raya pula dipenuhi jentera membersihkan salji.

Sementara itu, di Poland pula angka kematian meningkat 45 orang dengan suhu mencecah -27 darjah Celsius dan di Romania pula jumlah kematian adalah 28 orang.

Di Heathrow, London, sebanyak 30 penerbangan telah dibatalkan di lapangan terbang paling sibuk di dunia semalam sebagai persediaan menghadapi salji tebal dan kabus.

Salji tebal turut melanda Rom di Itali buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun.

Sebahagian lagun Venice turut beku.

Cuaca sejuk turut membunuh penduduk di Bosnia, Latvia, Lithuania, Estonia, Bulgaria, Republik Czech, Itali, Slovakia, Perancis, Austria dan Greece.

Pemerintah di Bosnia mengisytiharkan darurat di bandar raya Sarajevo selepas ramai yang terperangkap di dalam rumah akibat salji tebal.

Helikopter digunakan untuk memindahkan ribuan orang yang terperangkap akibat salji tebal semalam. - Agensi