Ketahui Hukum Potong Tangan Pencuri

Perbuatan mencuri adalah berat di sisi Allah. Ia sama berat dengan perbuatan menyekutukan Allah, zina, membunuh anak-anak sendiri, mendatangkan umpatan dan mengingkari Nabi.



Petunjuk dipetik daripada firman Allah berbunyi:

"Wahai Nabi, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu, dengan berjanji setia kepada kamu, bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, dan tidak akan mencuri, dan tidak melakukan zina, dan tidak membunuh anak-anak mereka, dan tidak mendatangkan umpatan yang mereka mengada-adakan antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan tidak juga mengingkari kamu pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (60:12)

Mencuri bermaksud "mengambil kepunyaan orang tidak dengan kebenarannya, memaling" menurut Kamus Dewan. Perbuatan itu zalim, dan hukumannya ditetapkan di dalam ayat berikut:

"Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana." (5:38)

Ayat yang menyusul menyuruh pencuri bertaubat dan membetulkan, dan kemudian, Allah akan menerima taubatnya:

"Sesiapa bertaubat sesudah kezalimannya, dan dia membetulkan, Allah akan menerima taubatnya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (5:39)


Potong

Tangan pencuri, baik lelaki mahupun perempuan, harus dipotong menurut ayat 5:38 tadi. Perkataan potong yang menyerlah diterjemah daripada kalimat qata'a. Ia dijumpai di dalam lima belas ayat al-Qur'an, termasuk yang baru disebut. Kerana konteks ayat yang berlainan maka terjemahan bagi kalimat itu berbeza. Perbezaan mereka dapat dilihat di dalam ayat-ayat yang diturunkan di bawah ini, tetapi dengan ringkas sahaja:

"Orang-orang yang memecahkan perjanjian Allah ..." - 2:27 (dan perjanjian disebut lagi, tetapi bukan Allah, di dalam 13:25)

"Supaya Dia memotong sebahagian orang-orang yang tidak percaya ..." - 3:127 (ayat 8:7 turut menceritakan memotong orang-orang yang sama)

"Sisa terakhir kaum yang membuat kezaliman dipotong." - 6:45 (sisa terakhir orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah disebut di dalam ayat 7:72, dan kaum Lut, 15:66)

"... dan tidak juga mereka melalui sesuatu lembah," - 9:121.

"... menghulurkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia memotongnya," - 22:15

"... aku tidak biasa memutuskan sesuatu urusan sehingga kamu mempersaksikan aku." - 27:32.

"... kamu mendatangi lelaki, dan memotong jalan," - 29:29

"Tidak terputus, dan tidak tercegah," - 56:33 (pelbagai rezeki di syurga)

"Apa sahaja pohon palma yang kamu tebang," - 59:5, dan,

"Kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya (Muhammad)," - 69:46

Kalimat qata'a terbit daripada akar berhuruf qaf-ta-ain. Adalah difahamkan seterusnya bahawa empat kata lain terbit daripada akar tersebut - qit, qita, qatta'a, dan taqatta'a. Mereka, seperti qata'a, diterjemah kepada beberapa perkataan juga, iaitu sebahagian, bahagian-bahagian, kawasan-kawasan, dipotong, memotong, dibelah, memutuskan, diputuskan, memecahkan dan berpecah, menurut konteks ayat.

(Sila rujuk ayat-ayat mengandungi kalimat qata'a [potong] yang lengkap, dan ayat-ayat daripada empat kata terbitan lain yang disebut, melalui "link" di hujung halaman ini, atau di sini. Terima kasih.)

Lantaran itu, kesemua kalimat tersebut kelihatan membawa maksud potong atau seumpamanya, dan ayat-ayat yang mengandunginya pula nampak jelas, tidak macam jenis mutasyabihat atau perumpamaan.


Hukum

Sekiranya diterima hukuman potong tangan bagi pencuri sebagai hukum hudud Allah, atau had-had Allah, tentu ia menjadi hukuman yang maksima. Dengan itu, tambahan anggota badan, seperti kaki untuk dipotong, atau pencuri dihukum bunuh, sebagaimana ajaran sesetengah golongan, telah melewati batas-batas yang ditetapkan Allah. Itu amat berat, jauh lebih berat daripada mencuri.

Sehubungan itu, satu kes mencuri yang tidak dipotong tangan tersurat di dalam al-Qur'an. Daripadanya boleh diambil iktibar. Kes itu disebut di dalam sebuah cerita seorang Nabi yang menjadi "pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai minda" (12:111).

Barang yang dicuri adalah gelas berkaki kepunyaan raja (12:72). Sebagai balasan, pencuri ditahan (12:79). Keterangan lanjut boleh dibaca dalam kisah Nabi Yusuf.

Perbuatan mencuri gelas kepunyaan raja tidak seharusnya dipandang ringan, apatah lagi kalau disamakan dengan "membuat kerosakan di bumi" (12:73). Namun, dalam kes yang agak berat itu pun, Allah menunjukkan keadilan-Nya dengan tidak mengisyaratkan memotong tangan pencuri.


Pertimbangan

Mencuri merupakan suatu kezaliman (5:39 tadi) terhadap orang lain. Maka timbul soalan, umpamanya, berapa nilai atau berat kezaliman yang dilakukan oleh pencuri sehingga dia harus dikenakan hukuman maksima? Bagaimana kalau dia memulangkan curiannya, dan dia bertaubat? Mahukah dipotong juga tangannya? Atau, memotongnya setelah sabit kesalahan yang kedua?

Soalan-soalan tersebut, dan banyak yang lain, harus diambil kira dalam pertimbangan sebelum memotong tangan seorang hamba-Nya.

Seterusnya, didapati dalam jenayah yang lebih berat, seperti membunuh orang, yang membawa hukuman mati, sebagai hukuman maksima, pun, Allah menggesa orang-orang yang mempunyai minda memilih kehidupan di atas pembunuhan. Atau, mengutamakan sifat perikemanusiaan. Firman-Nya,

"Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

Pembunuh itu selanjutnya boleh dimaafkan oleh saudara orang yang dibunuh dan membayar "ganti rugi". Ayat al-Qur'an yang menjelaskannya berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan (ditetapkan) bagi kamu ialah pembalasan (qisas) ..... tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Pemelihara kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (2:178)

Petunjuk di atas tentu baik diambil kira dalam masalah mencuri. Bayaran ganti rugi tidak menzalimi sesiapa. Ia tanda permaafan.


Hukuman contoh

Hukuman memotong tangan pencuri dianggap sebagai "hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana." (5:38). Atau, sebagai penghalang, daripada pencuri menlanjutkan kegiatannya, atau menghalang orang lain daripada mencuri sepertinya. Barangkali, hukuman itu dapat, misalannya, menghalang wang rakyat berjuta ringgit daripada dicuri oleh orang-orang yang ingin mencurinya.

Bagi orang yang melempar tuduhan mencuri ke atas orang lain pula, dia harus mendatangkan empat saksi, atau bukti, kalau mahu ikut kes zina, iaitu kejahatan yang disebut bersama mencuri di dalam ayat pertama dipapar di halaman ini. Dan menurut kes zina lagi, dalam menjalankan hukum Allah, "janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu mempercayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan daripada orang-orang mukmin mempersaksikan azab mereka." (24:2)

Masih dengan zina. Kali ini, yang menjadi iktibar ialah hukuman sebat yang dikenakan. Sebat di situ bukan metafora. Macam itu juga pendapat penulis ke atas potong tangan. Pendapatnya mungkin berbeza dengan pendapat sesetengah orang lain. Apapun, ia hanya satu pandangan sahaja.

Hukuman potong tangan pencuri lelaki dan perempuan tidak dijalankan dengan sewenang-wenangnya. Pertimbangan untuk menyelamatkan tangan mereka dan peluang untuk bertaubat, dan dimaafkan, walaupun mereka jahat, harus menjadi agenda penting bagi orang-orang mempunyai minda, dan bertakwa (takut kepada Tuhan), apabila mereka duduk untuk menegakkan hukum Allah. Takut nanti, azab-Nya akan turun lalu meliputi seluruh ahli masyarakat Islam, atas kezaliman yang dilakukan terhadap mereka pula. Dan atas, salah guna nama Islam yang murni.

Sila rujuk:

Kalimat curi di dalam
al-Qur'an

Kalimat
potong di dalam al-Qur'an