Konsert Alleycats Singapore 2012

Setelah 35 tahun tidak mengadakan konsert di Singapura, akhirnya kumpulan legenda Alleycats bakal mengadakan konsert di kota singa itu pada 14 April depan.



Konsert Alleycats yang bertemakan Istimewa Buat Singapura itu diadakan buat menghargai peminat Alleycats di sana. Malah, konsert anjuran Raistar Entertainment itu juga diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-43 kumpulan Alleycats bertapak dalam industri hiburan tanah air.

Bagi vokalis utama kumpulan Alleycats, Datuk Arumugam, peluang mengadakan konsert di Singapura setelah 35 tahun sememangnya ditunggu-tunggu olehnya.

Kali terakhir Kumpulan Alleycats mengadakan konsert secara besar-besaran di Singapura adalah pada tahun 1976 iaitu kira-kira 35 tahun lalu di National Theater. Kini bangunan itupun sudah tiada. Kumpulan Alleycats sangat teruja dan menunggu saat untuk beraksi di negara itu sekali lagi dan peluang itu akhirnya tiba bila pihak Warner Music dan Raistar Entertainment merealisasikannya,” ujarnya yang bakal mengadakan Konsert Istimewa Buat Singapura itu di dewan konsert Esplanade.

Sememangnya untuk mengadakan konsert besar di dewan Esplanade adalah sukar kerana terdapat satu jawatankuasa khas yang akan memilih artis-artis yang layak untuk mengadakan persembahan di situ.Ia merupakan satu pengikhtirafan besar bahawa Alleycats mampu mengadakan persembahan di sana seterusnya memperkenalkan Esplanade kepada semua orang.

Alleycats akan menyampaikan lebih 20 buah lagu hit seperti Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah, Nota Terakhir dan lain-lain selama dua jam. Alleycats juga tidak menolak jika ada peminat yang memintanya menyampaikan lagu yang mereka inginkan.

Tiada masalah untuk menyanyikan beberapa buah lagu yang diminta pada konsert itu nanti. Malah, saya akan buat tinjauan lagu apa yang peminat Singapura suka dan akan cuba menyanyikan lagu tersebut nanti,” tuturnya ketika ditemui pada sidang media Alleycats Istimewa Buat Singapura di pejabat Universal Music, Petaling Jaya.

Sementara itu, menurut Pengarah Konsultan Raistar Entertainment, Fahmi Rais, pihaknya berbesar hati dapat membawa Alleycats ke Singapura kerana kumpulan itu mempunyai ramai peminat.

Mereka akan memilih artis yang mampu membuatkan tiket dijual habis dan melalui satu tinjauan yang dilakukan, rata-rata ramai yang ingin melihat Alleycats beraksi di Singapura.

Dewan ini boleh memuatkan seramai 1,600 orang dan Alleycats mampu menarik seramai 1,600 peminatnya untuk hadir menyaksikan persembahan memandangkan Alkumpulan itu merupakan sebuah kumpulan legenda dan rangkaian lagu-lagunya adalah malar segar.

Persembahan yang akan diadakan di Esplanade itu juga adalah satu pengiktirafan buat kumpulan tersebut kerana pihak pengurusan itu tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana artis membuat persembahan di situ melainkan mereka benar-benar mempunyai pengaruh kuat.