Fenomena Hari Tanpa Bayangan

Tepat pukul 12 tengah hari ini, bandar Bogor di Jawa Barat mengalami fenomena hari tanpa bayangan, manakala ibu kota Jakarta akan mengalami fenomena sama esok.

Hari Tiada bayang

Untuk tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayangan sendiri di bawah sinar matahari kerana matahari berada tepat di atas kepala dan jika cuaca tidak berawan, bahang panas matahari adalah optimum dan bersifat sangat menyengat.

Selepas tempoh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula kerana kedudukan matahari semakin beralih ke garis lintang arah utara.

Peneliti Utama Astronomi Astrofizik di Lembaga Penerbangan dan Angkasa Lepas Nasional (LAPAN) Indonesia, Dr. Thomas Djamaluddin berkata, kejadian itu merupakan fenomena yang biasa berlaku pada tarikh sama dua kali setiap tahun kerana pada ketika itu matahari berada tepat di garis lintang di kawasan terbabit.