Filem Bunohan Dapat Anugerah Di Taipei

Filem drama-aksi Malaysia berjudul BUNOHAN, membuat gelombang di arena antarabangsa, setelah berjaya menerima Anugerah NETPAC di Filem Festival Taipei Golden Horse 2011.

Malay Film

Pengarah Dain Said menerima anugerah tersebut bagi pihak produksi.Juri NETPAC memuji filem tersebut kerana mereka mendapati BUNOHAN filem menggunakan cara yang paling kreatif dan unik disamping menggunakan bahasa sinematik dan menangani pelbagai isu kontemporari Asia. Anugerah NETPAC (Rangkaian untuk Promosi Pawagam Asia) dianugerahkan bagi menggalakkan pawagam-pawagam di Asia mengenengahkan filem-filem yang luar biasa dan berhasrat untuk mencungkil bakat-bakat baru.

BUNOHAN telah mengadakan tayangan perdana mereka di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September 2011. Festival Filem Taipei Golden Horse dijadikan tayangan untuk tayangan perdana filem BUNOHAN di peringkat Asia. BUNOHAN juga telah dipilih oleh Universal Pictures untuk diedarkan di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Bertempat di Kelantan dan bersempadanan dengan negara Thai, BUNOHAN menceritakan mengenai lelaki ganas yang kental. Ia berkenaan dengan nasib tiga adik-beradik; seorang peninju tomoi yang berada dalam pelarian, pembunuh upahan dan seorang ahli perniagaan licik yang tersepit dalam sarang tragedi penipuan dan rasuah.

Filem ini dibintangi pelakon-pelakon yang pernah memenangi pelbagai anugerah seperti Faizal Hussein, Zahiril Adzim serta Pekin Ibrahim, dan dibantu oleh Bront Palarae, Soffi Jikan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi, Jimmy Lor dan Tengku Azura. Filem ini hasil karya dan diarahkan oleh Dain Said. Ia diterbitkan oleh Nandita Solomon. Tim Kwok Entertainment Convergence bertindak sebagai penerbit bersama.

Filem BUNOHAN telah mula di tayangkan di panggung seluruh negara pada 8 Mac 2012..

Tonton Bunohan
online