Gaji Minimum Amah Indonesia RM700

Indonesia semalam mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.



Jika seorang pembantu rumah itu diambil untuk menjadi tukang masak, ia akan hanya menjalankan tugas memasak serta tugas-tugas berkaitan tukang masak dan tidak akan menjalankan tugas-tugas lain seperti mengasuh bayi.

Itulah antara hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia di sini semalam.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman berkata, JTF mencapai kesepakatan terhadap empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.