Kereta Halimunan Tembus Pandang

Kita mungkin telah lama didedahkan dengan pelbagai kisah halimunan seperti filem The Invisible Man yang ditayangkan seawal tahun 1933. Kemudian filem James Bond: Die Another Day yang ditayangkan pada 2002 menunjukkan kereta James Bond yang terus ‘hilang’ atau halimunan selepas memasuki terowong.

Kereta Ajaib Halimunan Tembus Pandang

Malah dalam filem Harry Porter juga terdapat selimut yang menjadikan Harry manusia halimunan.

Sememangnya semua orang mahu menjadi manusia halimunan kerana kita boleh melakukan apa saja dan orang lain tidak dapat melihatnya. Tentu hebat kan!

Mungkin inilah sebabnya, sebuah syarikat pengeluar kereta mengambil keputusan membina kereta halimunan sebagai satu cara mempromosikan kenderaan dengan bahan api baru yang tidak membebaskan gas rumah hijau.

Dalam publisitinya, Mercedes menekankan kenderaan dengan bahan bakar F-Cell tidak membebaskan gas rumah hijau menjadikannya halimunan kepada alam sekitar.

Kereta halimunan Mercedes adalah buah tangan pakar teknologi penyamaran optikal untuk mewujudkan ilusi ke atas kereta berkuasa hidrogen.

Teknologi yang asalnya dirintis oleh sekumpulan saintis dari Universiti Tokyo, Jepun telah digunakan oleh syarikat Mercedes.

Mereka menutup bahagian kiri kenderaan tersebut dengan kepingan LED, manakala di bahagian kanannya pula diletakkan kamera Refleks Lensa Tunggal Digital (DSLR).

Kaedah

Kamera itu berperanan untuk merakamkan imej di bahagian sebelah kanan kereta itu dan videonya disiarkan di kepingan LED yang menutupi bahagian kiri kenderaan itu.

Kaedah itu menyebabkan orang ramai yang melihat kenderaan itu dari sebelah kiri akan nampak pemandangan di sebelah kanan kenderaan itu yang dipancarkan pada kepingan LED tersebut.

Sebenarnya teknik berkenaan pernah digunakan pada pakaian beragam semasa perayaan Halloween sebelum ini.

Caranya mudah, hanya letakkan satu iPad di bahagian perut dan bungkus sehingga kelihatan seperti lubang, kemudian letakkan kamera video di belakang dan kemudian sambung ke iPad.

Ketika itu nampak seperti ada lubang di bahagian perut dan tembus hingga ke belakang. Sungguh menakjubkan!

Syarikat Mercedes juga menggunakan teknik yang sama.

Semasa berada di atas jalan, orang ramai kagum dengan kereta halimunan apabila melihat kereta berkenaan melintasinya.

Mercedes dalam satu kenyataan berkata, sistem pemanduan penjanaan hidrogen sudah sedia untuk pengeluaran walaupun ada yang mengatakan kereta berkenaan akan hanya dikomersialkan pada tahun 2014.

Bagaimanapun teknologi sel bahan api F-Cell masih lagi amat mahal kerana hidrogen merupakan bahan api yang sukar untuk disimpan dan diangkut.

Hidrogen yang diperlukan untuk menghasilkan sel bahan api harganya amat tinggi.

Bagaimanapun sekalung tahniah diucapkan kepada pihak Mercedes atas usaha menghasilkan kenderaan yang tidak membebaskan gas rumah hijau sekali gus mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar.