Ngeri Mati Tersepit Di Celah Lori

Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan tidak disangka-sangka apabila dia mati selepas tersepit di antara sebuah lori dan sebatang pokok kelapa sawit dalam kejadian di sebuah bengkel dekat Ladang Sungai Kelembung, Jalan Felda Telang Satu Kuala Lipis.



Kejadian pukul 2.20 petang itu mengakibatkan Lau Hon Yong, 53, mati di tempat kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa telah meletakkan lorinya di situ untuk membaiki pintu kenderaan sebelum ia bergerak sendiri dan melanggar Hon Yong.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, jarak di antara lori dan pokok kelapa sawit itu kira-kira 1.5 meter.

“Tanpa diduga, lori berkenaan bergerak sebelum merempuh mangsa hingga menyebabkan dia gagal mengelak lalu tersepit.

“Kita masih menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan brek tangan lori itu tidak ditarik dengan kemas,” katanya yang memberitahu mangsa mati akibat kecederaan parah di beberapa organ dalaman.