Nilai Satu Ganjaran Positif Atau Negatif

Biasanya orang percaya ganjaran akan beri kesan positif kepada penerima, benarkah begitu? Sebagai contohnya, pelajar yang suka membantu guru jika diberi ganjaran atas tingkah lakunya akan terdorong untuk sentiasa terus membantu guru. Ini tidak semestinya benar begitu.

Murid Cemerlang

Di dalam satu ujikaji oleh Lepper & Greens (dipetik dari buku Guru Sebagai Pendorong Dalam Bilik Darjah), sekumpulan pelajar sekolah rendah yang sudah lama suka melukis-lukis di dalam darjah, tiba-tiba diberi sijil setiap kali mereka siap melukis. Didapati selagi mereka diberi sijil, mereka terus suka melukis. Tetapi apabila tiba-tiba mereka tidak diberi sijil lagi, hasil lukisan mereka merosot sebanyak 50 peratus. Makin lama, masa yang mereka mahu melukis pun ikut berkurangan. Sebagai perbandingan, sekumpulan pelajar lain yang tidak diberi apa-apa sijil terus melukis seperti biasa.

Ujikaji ini membuktikan bagaimana ganjaran boleh membunuh dorongan dalaman. Namun begitu, adakah guru tidak boleh memberi ganjaran kepada pelajarnya? Jawapannya boleh tapi mestilah mengikut prinsip memilih ganjaran yang berkesan kerana tiap-tiap individu memandang sesuatu ganjaran yang serupa dari pelbagai sudut berdasarkan faktor-faktor:
1. Nilai ganjaran kepada si penerima
2. Matlamat peribadi penerima
3. Keselarasan ganjaran dengan tugas
4. Keistimewaan ganjaran

Kesimpulannya, ganjaran luaran akan menimbulkan kesan negatif apabila tujuan ia diberikan adalah supaya si penerimanya mahu melakukan sesuatu tugas, tetapi jika ganjarna diberi untuk memberitahu usahanya adalah baik, maka ganjaran itu dapat menaikkan lagi dorongan dalaman yang sedia ada dalam diri mereka.