Video Pemuzik SonaOne Cedera Dipukul

Penyanyi dan pemuzik hip hop, Mikael Adam Mohd Rafee Michel, 23, cedera di muka dan kepala selepas diserang seorang lelaki dikatakan anak VIP di luar kompleks beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini awal pagi semalam.





Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Mikael Adam Mohd Rafee Michel, 23, didatangi suspek ketika dia dan dua rakan perempuannya baru memasuki kereta yang kemudian bertindak menariknya keluar dari kereta dan memukulnya.

"Ketika itu saya baru pulang dari kerja... sebaik ditarik keluar, saya ditumbuk bertalu-talu sehingga terjatuh sebelum kepala saya dipijak dengan kuat menyebabkan saya tidak sedarkan diri.

"Saya hanya mampu mempertahankan diri dengan menutup muka dan kepala dengan kedua belah tangan saya bagi mengelakkan kecederaan lebih parah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah pusat perubatan swasta di sini hari ini.

Mikael Adam berkata, dia dibawa ke pusat perubatan tersebut dalam keadaan tidak sedar oleh seorang rakannya yang dihubungi oleh dua rakan perempuannya itu.

Dia berkata, rakannya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tun Razak tidak lama selepas insiden tersebut.

"Saya mahu lelaki itu diambil tindakan kerana memukul saya sesuka hati hingga cedera parah tanpa sebab," katanya.

Mikael Adam yang lebih dikenali dengan nama pentas SonaOne, merupakan artis grafiti, penerbit muzik, pencipta lagu dan rapper.

Dia bernaung di bawah label Kartel Records, yang diterajui artis hip-hop tempatan terkenal Joe Flizzow.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamed Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan sedang dijalankan.-Sinar Harian