Fasha Sandha Disahkan Hamil 1 Minggu

Pelakon terkenal, Nur Fasha Sandha Hassan disahkan mengandung seminggu lebih selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Ampang, semalam.

Mengandung Beranak Hamil Berbadan Dua

Pengurus peribadi Fasha Sandha, Nik Yasmin dikhabarkan memaklumkan berita gembira ini melalui Blackberry Messenger (BBM) selepas doktor mengesahkan kandungan.

Menurut pesanan ringkas Nik Yasmin, doktor melakukan pemeriksaan ke atas Fasha Sandha selepas beliau didapati lambat datang bulan dan doktor tampil dengan berita gembira buat pasangan pengantin baru ini.


Dia yang diijabkabulkan dengan suaminya Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 36, pada 28 April lalu di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai berita gembira itu kerana semuanya terlalu baru dan masih perlu menjalani satu lagi pemeriksaan minggu depan.


Fasha yang dihubungi semalam menyifatkan berita itu hadiah paling istimewa buat dia dan suami.

“Alhamdulillah semuanya rezeki dan saya sendiri tidak pernah menyangka ia terlalu awal buat kami berdua. Saya sebenarnya tidak tahu sehingga membuat pemeriksaan pagi tadi (semalam) di klinik di Ampang bersama pembantu peribadi dan kemudiannya doktor mengesahkan ujian air kencing positif yang mana saya sah mengandung.


“Suami sendiri terkejut kerana tidak menyangka menerima berita ini. Jika benar apa yang dikhabarkan kepada kami berdua ini, ia adalah rezeki dan doa kami berdua akhirnya terjawab untuk memiliki cahaya mata secepat mungkin.


“Namun saya masih perlu menjalani ujian seterusnya bagi mengesahkan sekali lagi yang saya benar-benar mengandung,” katanya.

Fasha yang sebelum ini popular menerusi puluhan filem dan drama termasuk Cicak-Man dan Anak Halal sah menjadi isteri kepada Rizal yang juga seorang usahawan berjaya dalam majlis perkahwinan yang cukup indah dan sederhana di hadapan ahli keluarga dan sahabat rapat.


Pasangan ini baru saja pulang dari berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu pada minggu lalu selama lima hari.

Sementara itu Rizal yang lebih dikenali sebagai Jejai berkata, dia bersyukur dengan berita gembira ini dan mengharapkan semuanya berjalan dengan lancar.


“Siapa gembira apabila dia (Fasha) menghubungi saya dan menyampaikan berita ini. Saya terlalu seronok dan bersyukur kerana diberikan rezeki begitu awal. “Sudah pasti saya akan lebih menjaga Fasha dan inginkan dia berehat dengan cukup bagi menjaga kandungan anak kami bersama. Inilah hadiah paling bermakna buat saya dan isteri,” katanya.-Metro