Kem PLKN Dijangkiti Virus Influenza A H1N1

Kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak akan ditutup biarpun terdapat kes pelatihnya dijangkiti virus influenza A H1N1 kerana penyakit itu dikategorikan sebagai endemik.

Penyakit,Gejala,Sakit,Demam,Selsema,Batuk,Topeng Muka

Endemik ialah keadaan suatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu komuniti atau populasi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, selepas serangan H1N1 pada 2009, Kementerian Kesihatan telah mempunyai panduan untuk mengawal dan merawat penyakit berkenaan jika ia menular di sesebuah institusi.

“Tiga tahun lepas jika ada kes H1N1, kem PLKN terpaksa ditutup dan pelatih terpaksa pulang ke rumah. Cara itu mungkin tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan virus itu merebak dengan cepat dalam masyarakat.

“Keputusan Kementerian Kesihatan dalam menangani penyakit ini cukup positif dan hasilnya bilangan pelatih yang dijangkiti menurun dengan cepat. Sebab itu peraturan penutupan kem PLKN sudah tiada,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kem PLKN Dusun Resort di sini setelah 78 orang daripada keseluruhan 303 pelatihnya dikesan dijangkiti H1N1.