Sejarah Sultan Johor Yang Pernah Memerintah


Sejarah Asal usul raja johor Keturunan Pemerintahan Perang Singapura Kaya

Sultan Johor 1 - Sultan Mahmud Shah I (1511-1528)

Pada 15 Ogos 1511, Melaka telah diserang oleh Portugis lalu baginda Sultan Mahmud Shah I melarikan diri ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh seterusnya ke Pahang, Bentan dan akhir sekali Kampar. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1528 disebut "Marhum Kampar"

Sultan Johor Ke-2 - Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Ali / Raja Alauddin / 1528-1564)

Sultan Alauddin Riayat Shah II telah pergi ke Pahang menemui Sultan Mahmud Shah ( Sultan Pahang 5). Baginda telah memperisterikan Puteri Kesuma Dewi (anak marhum Sultan Mansur Shah - Sultan Pahang 4 ). Pada tahun 1529, baginda ke Hujung Tanah dan membuka Pekan Tua (Kota Kara). Pada tahun 1535, seramai 400 askar Portugis yang diketuai Estavao Da Gamma telah menyerang Johor. Baginda melarikan diri ke hulu iaitu Rebat, Sayong. Seri Nara Diraja (pembesar sultan) kemudiannya meninggal di Sayong disebut "Datuk Nisan Besar" . Susulan peristiwa itu Sultan Muzaffar Shah (Sultan Pahang 6) telah datang ke Sayong. Bagaimanapun pada tahun 1536, Estavao Da Gamma telah menyerang Kota Kara kerana adiknya Paulo Da Gamma dan 30 orang Portugis telah dibunuh oleh orang Melayu. Justeru itu, satu perdamaian telah dimetrai antara kedua-dua belah pihak. Pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II berpindah dan membuka Johor Lama. Baginda telah pergi ke Aru bagi membantu Ratu Aru dari ancaman Acheh. Pada tahun 1564, Sultan Acheh Sultan Alauddin al-Qahar mengalahkan Aru dan manghalau orang-orang Johor. Kemudian Sultan Acheh telah menyerang Johor Lama dari Aru. Sultan Alauddin Riayat Shah II ditawan dan dibawa ke Acheh dan dibunuh disana disebut "Marhum Syahid di Acheh".

Sultan Johor Ke-3 - Sultan Muzaffar Shah II (Raja Muzafar / Radin Bahar / 1564-1570)

Sultan Muzaffar Shah II bersemayam di Johor Lama sebelum berpindah ke Seluyut pada tahun 1565. Baginda tidak suka Johor tunduk kepada Acheh. Pada tahun 1568, baginda menghantar tentera membantu Portugis sekaligus mengundang kemarahan Acheh. Pada tahun 1570, baginda mengkat di Seluyut disebut "Marhum Mangkat di Seluyut".

Sultan Johor Ke-4 - Sultan Abd Jalil Shah I (Raja Abdul Jalil / 1570/ 1571)

Sultan Abdul Jalil Shah I adalah anak saudara kepada Sultan Muzaffar Shah II. Ketika berusia 8 tahun baginda telah ditabalkan sebagai Sultan, melalui wasiat Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Abdul Jalil Shah I mangkat tiba-tiba dipercayai mungkin diracun. Bendahara Tun Isap Misai (pembesar sultan) meninggal dan dikebumikan di Seluyut.

Sultan Johor Ke-5 - Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar / 1570/71 - 1597)

Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berasal dari Pahang, suami kepada Raja Fatimah (adik Sultan Muzaffar Shah II, bapa kepada Sultan Abdul Jalil Shah I). Pada asalnya pembesar ingin melantik Raja Abdullah, anak Sultan Muzaffar Shah II, tetapi dibantah oleh Raja Fatimah dan mahukan suaminya dilantik sebagai Sultan. Tun Sri Lanang dilantik sebagai Bendahara. Pada tahun 1571, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Tanah Putih selama dua tahun. Pada tahun 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berpindah ke Johor Lama dan membaik pulih semula kota Johor Lama. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II bersahabat semula dengan Acheh (Acheh bergabung dengan Johor menentang Portugis). Pada tahun 1576 dan 1578 Portugis menyerang Johor Lama tetapi ditewaskan. Januari 1573, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II menyerang Melaka dan hampir dapat menawan semula Melaka. Pada 21 Julai 1587, angkatan Portugis yang diketuai Antonio de Noronha ke Johor membedil Kota Johor lama dan merampas harta. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II berundur ke Batu Sawar pada tahun 1587. Pada tahun 1589, Batu Sawar diserang dan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II melarikan diri. Apabila Portugis balik ke Melaka, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II datang semula ke Batu Sawar memulihkan kekuatan. Pada tahun 1596, Raja Fatimah mangkat, dan dikebumikan di Seluyut sebelah anaknya Sultan Abdul Jalil Shah I dan abangnya Sultan Muzaffar Shah II. Pada tahun 1597, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II mangkat di Batu Sawar dan disebut "Marhum Batu Sawar".

 


Sultan Johor Ke-6 - Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur / 1597-1615)

Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Batu Sawar. Pemerintahan diserah kepada sepupu / saudara (berlainan ibu) Raja Abdullah dengan gelaran "Yang Di Pertuan Hilir" di Kota Seberang bertentangan Batu Sawar. Pelbagai bangsa datang ke Batu Sawar menjadikan ia masyhur. Sultan Alauddin Riayat Shah III mengadakan hubungan baik dengan Belanda serta membenarkan Belanda meletakkan pegawainya di Batu Sawar. Selama 11 tahun Sultan Alauddin Riayat Shah III berpindah ke Pasir Raja, tetapi Batu Sawar masih berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja dengan bendahara Tun Sri Lanang. Pada tahun 1610, Sultan Alauddin Riayat Shah III berbaik dengan Portugis menyebabkan Acheh berasa marah sewaktu dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Jun 1613, Acheh telah menyerang Johor hingga berlarutan selama dua bulan, namun Johor telah ditewaskan. Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah, Tun Seri Lanang, pembesar dan dua puluh orang Belanda ditawan serta dibawa ke Acheh. Kemudian kedua-dua belah pihak membuat perdamaian dan Sultan Alauddin Riayat Shah III bersama tahanan dibenarkan pulang ke Johor. Tetapi Sultan Alauddin Riayat Shah III tetap meneruskan hubungan dengan Portugis dan Belanda, tindakan ini menimbulkan kemarahan keapda Acheh lalu Sultan Alauddin Riayat Shah III ditangkap, dan dibawa semula ke Acheh dan dihukum bunuh. Pada 1615, Sultan Alauddin Riayat Shah III mangkat di Acheh.

Sultan Johor Ke-7- Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (Raja Mansur / 1615 -1623)

Sultan Abdullah Ma'ayat Shah diangkat oleh Sultan Acheh sebagai Sultan Abdullah Ma'ayat Shah dan bersemayam di Batu Sawar. Pada tahun 1618, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah berpindah ke Lingga (Daik) dengan meminta bantuan Belanda dan Orang Laut melawan Acheh. Pada tahun 1623, Acheh menyerang Pulau Lingga untuk memburu Raja Bujang (anak Sultan Alauddin Riayat Shah III). Sultan Abdullah Ma'ayat Shah melarikan diri bersama-sama Raja Bujang ke Pulau Tambelan. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah mangkat di Pulau Tambelan disebut "Marhum Pulau Tambelan".

Sultan Johor Ke-8 - Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang / 1623-1677)

Sultan Abdul Jalil Shah III merupakan anak saudara Marhum Tambelan, putera Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pulau Tambelan. Sultan Abdul Jalil Shah III menubuhkan Jemaah Orang Kaya. Pada tahun 1629, ancaman Acheh berkurangan kerana kekalahan teruk kepada Portugis. Pakatan Johor-Belanda berjaya menakluki Melaka pada 14 Januari 1640. Belanda berjaya menakluki Melaka pada Januari 1641, manakala Sultan Acheh, Sultan Iskandar Muda mangkat pada 1636 dan Sultan Iskandar Thani mangkat pada 1641 dan Acheh kemudiannya diperintah oleh Raja Perempuan Ratu Sultanah Tajul Alam. Pada 1641, Sultan Abdul Jalil Shah III datang ke tanah besar Johor iaitu pusat pemerintahan di Makam Tauhid. Selama dua tahun Sultan Abdul Jalil Shah III di Makam Tauhid sebelum berpindah menyeberangi Sungai Damar ke Pasir Raja yang juga dikenali sebagai Batu Sawar pada Oktober 1642. Sultan Abdul Jalil Shah III kekal di Pasir Raja hingga 1673 sebelum bermusuhan dengan Jambi dan meletusnya perang antara Jambi-Johor. Sultan Abdul Jalil Shah III melarikan diri ke Pahang dan bersemayam di Pahang selama empat tahun dan mangkat di Kuala Pahang disebut "Marhum Mangkat di Pahang @ Marhum Besar".

Sultan Johor Ke-9 - Sultan Ibrahim Shah (Raja Ibrahim / Putera Raja Bajau / 1677-1685)

Sultan Ibrahim Shah merupakan anak Sultan Abdul Jalil Shah III dilantik sebagai Sultan di Pahang pada 1677. Pada 1678, laksamana Tun Abdul Jamil mengajak Sultan Ibrahim Shah berpindah dari Pahang ke Riau. Sultan Ibrahim Shah cuba untuk membina semula Kota Johor Lama tetapi tidak kesampaian. Sultan Ibrahim Shah mangkat di Pulau Riau pada 1685 disebut " Marhum Bongsu".

Sultan Johor Ke-10 - Sultan Mahmud Shah II (Raja Mahmud / 1685-1699)

Sultan Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".

 


Sultan Johor Ke-11 - Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil / 1699-1720)

Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan kerana Sultan Mahmud Shah II tiada meninggalkan waris. Sultan Abdul Jalil IV merupakan sultan pertama dari keturunan Bendahara. Selepas bergelar Sultan Abdul Jalil IV, baginda menukar pusat pemerintahan ke Panchor pada tahun 1700. Pada tahun 1702, Istana di Bukit Tukul terbakar. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke Riau dan menjadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor. Pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil IV berpindah ke tanah besar Johor dan bersemayam di Panchor. Sultan Abdul Jalil IV mempunyai istana di Makam Tauhid dan Johor Lama. Kota Johor Lama dibaiki dan digelar "Kota Lama". Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak (Minangkabau) menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang di Pertuan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, pun begitu masih membenarkan Sultan Abd Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil adalah pewaris sultan. Raja Kecil menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV dan disebut "Marhum Mangkat di Kuala Pahang".

Sultan Johor Ke-12 - Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil / Yang Di Pertuan Johor/ 1718-1722)

Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah  (Raja Kecil) merampas kuasa sultan dari Sultan Abdul Jalil IV dan mengaku waris Sultan Mahmud Shah II yang sah.  Pada tahun 1719, cubaan merampas semula kuasa oleh Sultan Abdul Jalil IV dan anaknya Raja Sulaiman dan Tun Abas, yang berkubu di Seluyut gagal.  Sultan Abdul Jalil IV lari ke Kuala Pahang.  Raja kecil telah berpindah ke Riau dan mentadbir Johor dari Riau.  Sultan Abd Jalil IV dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan pada tahun 1720 balik semula ke Pahang.  Raja kecil telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang untuk membunuh Sultan Abd Jalil IV.  Raja Sulaiman dan Tun Abas dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman dan Tun Abas tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil dan berpakat dengan Bugis 5 Saudara dan berjaya mengalahkan Raja Kecil halu balik ke Siak.

Sultan Johor Ke-13 - Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Raja Sulaiman / Yang diPertuan Besar Johor-Riau / 1722-1760)

Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ditabalkan sebagai Sultan Johor-Riau oleh Bugis 5 saudara.  Kesultanan Johor diperintah semula oleh keturunan Bendahara.  Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah kemudiannya melantik Daing Merewah (Kelana Jaya Putera) sebagai Yamtuan Muda Johor Pertama.  Dibawah naungan Sultan Badrul Alam Shah, kuasa membuat keputusan bukan lagi dari menteri dan jemaah.  Hubungan dengan Belanda terjalin disebut Perjanjian 1754. Perjanjian 1756 memberi hak monopoli perdagangan timah di Linggi, Kelang, Kuala Selangor tanpa keizinan raja memerintah. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangakt di Riau pada Ogos 1760 disebut "Marhum Batangan".

Sultan Johor Ke-14 - Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah (1760/1761)

Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah dilantik sebagai sultan menggantikan ayahandanya, tetapi Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah menetap di di Kuala Selangor dan sedang gering.  Lima bulan selepas kemangkatan ayahandanya, tiba-tiba Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah mangkat dipercayai diracun.  Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah disemayamkan di Riau, berhampiran makam ayahandanya.

Sultan Johor Ke-15 - Sultan Ahmad Riayat Shah (1761)

Sultan Ahmad Riayat Shah dilantik menggantikan ayahandanya ketika berusia sembilan tahun.  Kuasa pemerintahan dipegang oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja.  Sultan Ahmad Riayat Shah bersemayam di Kampung Bulang, Riau.  pada tahun 1761, pegawai Belanda telah datang dari Melaka menuntut wang ganti rugi perang sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Sultan Sulaiman dahulu.  Yamtuan Muda Daeng Kemboja sanggup membayar ganti rugi tersebut dan ini mengukuhkan lagi kuasa Yamtuan Muda Daeng Kemboja.  Sultan Ahmad Riayat Shah mangakt di Riau pada usia yang muda dipercayai diracun dan disebut sebagai "Marhum Tengah".


Sultan Johor Ke-16 - Sultan Mahmud Shah III (Raja Mahmud / 1761-1812)

Sultan Mahmud Shah III menjadi pemerintah Johor-Riau-Lingga.  Akibat daripada perpecahan pentadbiran kerajaan johor, tiga negeri diperintah oleh oleh pemerintah yang berlainan seperti Singapura - Temenggung, Riau - Yamtuan Muda dan Lingga - Sultan.  Pada tahun 1812, Sultan Mahmud Shah III mangkat di Lingga

Sultan Johor Ke-17 - Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (Tengku Abdul Rahman / 1812-1819)

Berlaku perebutan kuasa yang mana sepatutnya Tengku husin (Tengku Long) anak sulung Sultan Mahmud Shah III dilantik sebagai sultan.  Perlantikan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah disokong kuat oleh Belanda kerana akan mendapat kuasa mentadbir pelabuhan seluruh Negeri Johor kecuali Riau dan Lingga.  British mula campur tangan atas kepentingan Singapura dan cuba mempengaruhi Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah melantik Tengku Husin sebagai sultan.  

Sultan Johor Ke-18 - Sultan Hussain Shah (Tengku husin / Tengku Long / 1819-1835)

Campurtangan British memberi peluang kepada Sultan Husin menjadi Sultan Johor tetapi sebelum Sultan Husin Shah tiba di Singapura, Raffles telah membuat perhubungan dengan Temenggung untuk membenarkan pembinaan loji dan meletakkan satu kompeni askarnya di Singapura.  Sultan Husin Shah dilantik sebagai sultan pada 6 Februari 1819.  Perjanjian Inggeris-Belanda pada 18 Mac 1824 membawa kepada perpecahan Empayar Kesultanan Melayu Johor.  Kuasa sultan husin Shah ke atas Singapura hilang setelah menandatangani perjanjian pada 2 Ogos 1824 dengan British (John Crowfard) untuk menyerahkan Singapura dan pulau sekitarnya.  Sultan Husin Shah berpindah ke Melaka pada 1834 dan mangkat di Tengkera setahun kemudian. 

Sultan Johor Ke-19 - Sultan Ali (Tengku Ali / 1835-1877)

Sultan Ali diisytiharkan sebagai sultan pada 16 September 1840.  Berlaku persaingan kuasa dan kekayaan Johor antara Sultan Ali dengan Temenggung Ibrahim.  Pada 10 Mac 1855, temetrai satu perjanjian menyerahkan kedaulatan Johor kepada Temenggung kecuali Muar dan Kesang.  Sultan Ali kemudiannya mangkat di Umbai, Melaka pada 20 Jun 1877.

Sultan Johor Ke -20 Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja johor (Temenggung Tun Daeng Ibrahim / 1855-1862)

Tidak memakai gelaran 'Sultan' untuk menghormati Sultan Ali.  Raja Temenggung tun Ibrahim membuka Iskandar Puteri atau Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran kerajaan.  Raja Temenggung Tun Ibrahim juga mewujudkan sistem pentadbiran kerajaan yang teratur dan tersusun.  Pada 1 Februari 1862, raja temenggung Ibrahim mangkat.

Sultan Johor Ke - 21 DYMM Sultan Abu Bakar (Temenggung Che Wan Abu Bakar/ Ungku Bakar/ Ungku Abu Bakar / 1862-1895)

Memakai gelaran Maharaja Johor pada 1868.  Berusaha memajukan dan mengukuhkan kerajaan Johor di bawah Dinasti Temenggong.  Membuat hubungan diplomasi dengan kerajaan Riau-Lingga.  Pada 1 Januari 1866, menukar nama Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri kepada Johor Bahru dan menjadi pusat pentadbiran kerajaan Johor.  Maharaja Abu Bakar memberi galakan kepada orang Cina membuka ladang lada hitam dan gambir dan dikenali sebagai 'Sistem Kangcu'.  Selepas Sultan Ali mangkat, Tengku Alam (anak Sultan Ali) membantah pemerintahan Muar / Kesang diserah sementara kepada  Maharaja Abu Bakar dan melancarkan 'Perang Jementah' pada 1879 tetapi gagal.  Bagi mengukuhkan azam Maharaja Abu Bakar, baginda memakai gelaran Sultan Johor pada 1 Julai 1886 dengan gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah.  Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim menubuhkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor.  Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah memajukan Johor dengan menggabungkan tradisi melayu dengan kosmopolitan barat dan digelar Bapa Johor Moden,  Pentadbiran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah yang cekap dan tersusun diakui sendiri oleh British, lantas baginda tidak akan melantik pegawai British sebagai penasihat.  Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah mangkat di Eropah pada 10 Mei 1895 dan disemayamkan di tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.



Sultan Johor Ke - 22 DYMM Sultan Ibrahim (1895-1959)

Dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota pada 23 Mei 1891 dan diangkat sebagai pengganti pada 7 September 1895.  Dimahkotakan pula sebagai sultan pada 2 November 1895.  Sewaktu pemerintahannya, gagasan Civil Service diperkembangkan secara meluas ke seluruh negeri Johor.  Ketua jabatan terdiri daripada pegawai Melayu, British hanya membantu, dasar ini menyebabkan British sukar bertapak di Negeri Johor.  Sultan Ibrahim membubarkan Sistem Kangcu pada 1917 dan ekonomi negeri terus berkembang dengan membina infrastruktur jalan keretapi pada 1904, Tambak Johor (1919), Bangunan Bukit timbalan (Pusat pentadbiran kerajaan Johor 1939) dan sebagainya.  Sultan Ibrahim mangkat di Eropah pada tahun 1959 dimakamkan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Sultan Johor Ke - 23 DYMM Sultan Ismail (1959-1981)

Negeri Johor semakin maju dibawah pemerintahan Sultan Ismail.  Pembukaan ladang-ladang FELDA, KEJORA, Rancangan Perparitan Johor Barat, Pelabuhan Pasir Gudang, Lapangan Terbang Sultan Ismail dan kawasan perindustrian diwujudkan dan dibina.  Sultan Ismail mangkat pada 10 Mei 1981 di Hospital Besar Johor Bahru dan dimakamkan di tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.






Sultan Johor Ke-24 DYMM Almutawakkil Alallah Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj (1981- 2010)

Dilantik menggantikan ayahandanya pada 11 Mi 1981.  Dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-8 pada tahun 1984.  Merupakan pemimpin yang berkarisma, berjaya menggerakkan rakyat untuk memajukan Johor dalam perniagaan, perindustrian, perusahaan, pertubuhan an badan sukarela. 

Sumber Maklumat : Jabatan Muzium Kota Tinggi