Seorang Pesakit HIV Berjaya Di Sembuhkan

Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan bagi mencari ubat penyakit maut itu.

Penawar Ubat Kesan disembuhkan dirawat diubat

Brown, 47, yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemianya.

Sejak 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan keputusan yang negatif dalam ujian HIV.

"Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.

"Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya.

Lelaki itu sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi.

Namun, kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat.

Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.

Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria beracun.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi CCR5.

Mereka yang tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut.

Namun, manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.

Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu.

Brown didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut.