Syaleza Mati Akibat Lehernya Dijerut

Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan punca kematian eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9, yang mayatnya ditemui di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai pada Sabtu, adalah akibat lehernya dijerut.

Mati Digantung Dijerut Leher

eliau berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Syaleza Jaffar, 31, di Hospital Sungai Buloh menunjukkan mangsa mati akibat tidak boleh bernafas dan terdapat kesan jerutan di sekeliling leher mangsa.

“Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan anggota keluarga terdekat mangsa di Segamat, Johor pada kira-kira 10.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek akan direman petang ini.

Tun Hisan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mayat Syaleza ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya, Norazman Bashah pada kira-kira 7 malam.

Suaminya mendakwa terdengar dentuman dalam bilik tidur rumah itu dan ternampak mangsa tergantung tidak bernyawa di kipas bilik itu sebelum membawa turun mayat isterinya.

Polis kemudian ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh suami mangsa dan Syaleza disahkan meninggal dunia ketika ditemui polis.

Syazleza adalah anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. – BERNAMA