Sijil Halal Untuk Rancangan Tv

Rancangan televisyen Indonesia akan dicap dengan tanda dagang Halal Majlis Ulema Indonesia (MUI) di bawah satu rancangan yang ketika ini dibincangkan antara MUI dan Suruhanjaya Penyiaran Jawa Barat.



Kedua-dua organisasi itu bertemu untuk membincangkan kemungkinan melaksanakan satu tanda halal bagi rancangan televisyen (TV) ‘sopan’ yang tidak memaparkan tema atau imej yang ‘melanggar norma.’


Undang-undang Penyiaran menyatakan kandungan penyiaran seharusnya menghormati nilai agama”. - Neneng Athiatul, Ketua Suruhanjaya Penyiaran Jawa Barat


Pensijilan itu akan memastikan penonton televisyen dilindungi daripada program yang mungkin merendahkan moral negara, kata Ketua Suruhanjaya Penyiaran Jawa Barat, Neneng Athiatul.

“Undang-undang Penyiaran menyatakan bahawa kandungan penyiaran seharusnya menghormati nilai agama. Berikutan itu, kami fikir satu pensijilan halal adalah perlu,” kata Neneng kepada agensi berita Antara.

Ia satu usaha berterusan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengawal selia moral dalam media massa dan kehidupan seharian.

Kerajaan Indonesia mengharamkan pornografi, menjadikan pemilikan dan pengagihan bahan ‘lucah’ dikenakan hukuman penjara.
Ia cuba mengawal selia ukuran panjang skirt wanita dan polis enggan mengeluarkan satu permit untuk konsert Lady Gaga yang habis dijual di sini, dalam usaha melindungi moral negara.

MUI yang ketika ini mengeluarkan sijil halal untuk produk makanan, sedang merangka kriteria untuk rancangan televisyen.

“Ada persamaan antara makanan yang dimakan tubuh dan program televisyen yang dimakan rohani. Kaedah halal yang digunakan untuk makanan boleh juga dilaksanakan dalam program televisyen,” kata ketua jabatan fatwa MUI Jawa Barat, Umar Salim.

Beliau berkata, program agama yang bertemakan Halal akan menaikkan kedudukannya. - Agensi