Anwar Ibrahim Naik Jet Peribadi ke Labuan Dan Kota Kinabalu

Siapa punya pemilik jet yang dinaiki Anwar bersama-sama para pemimpin pembangkang lain ke Labuan dan Kota Kinabalu..?
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan jet peribadi yang dinaikinya bersama pimpinan pembangkang pertengahan bulan ini adalah ehsan ‘tajaan’ daripada seorang kenalan. Tanpa mendedahkan identiti pemilik jet berkenaan, Anwar malah mengharapkan ‘tajaan’ seumpama itu terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang. “Saya tak ada masalah (naik jet peribadi). Kalau ada ruang, saya nak pinjam lagi terutama dekat pilihan raya…saya nak pinjam,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, Isnin. Mengulas lanjut mengenai peminjam jet peribadi itu, Anwar berkata beliau dihubungi individu berkenaan bagi mendapatkan persetujuan untuk menaja pakej perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak. “Rekod siapa punya jet itu ada pada DCA (Jabatan Penerbangan Awam). Jet itu berpangkalan di Kuala Lumpur. “Saya dihubungi seseorang untuk diberikan kebenaran. Dia kata kalau ditanya (identiti pemilik jet) kata kawan tolong uruskan.Setakat itu sahaja yang saya boleh jawab. Macam kalau kereta saya rosak, saya minta tolong (pinjam) kereta kawan,” katanya. Media sebelum ini melaporkan kontroversi gambar Anwar bersama pemimpin pembangkang menaiki sebuah jet peribadi dari Terminal SkyPark Subang untuk ke Labuan, Sabah pada 15 September laluyang menjadi topik hangat di internet. Menurut pendedahan blog yang memetik kenyataan akaun Twitter Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua beberapa hari lalu, jet peribadi itu dinaiki Anwar bersama-sama para pemimpin pembangkang lain ke Labuan dan Kota Kinabalu, dipercayai bagi menyambut perayaan Hari Malaysia. Mengulas lanjut mengenai penyebaran gambar tersebut, Anwar berkata ia sengaja disebarkan bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif. “Mengapa kita izinkan Tian ambil gambar? Ia sebab saya tak mahu perkara ini dirahsiakan. Sebab itu sengaja kita sebarkan di facebook,” katanya. Dalam pada itu Anwar turut menafikan sebarang dakwaan yang mengaitkan wujudkan unsur rasuah disebalik penajaan jet peribadi tersebut. “Saya semak jika wujud unsur berkepentingan di Selangor, tapi tak ada. Saya bimbang juga kalau dia nak tanah atau kontrak di Selangor…tapi tak ada,” katanya. SEMENTARA itu dalam entri di blog novandri.blogspot.com mendakwa pemimpin pembangkang itu menuduh kerajaan Barisan Nasional membazir kerana sering menggambarkan diri mereka pandai berjimat cermat dan mengembara dengan menaiki syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia. “Ramai penyokong telah tertarik, malangnya ini semua hanya satu lakonan. “Cerita terbaru mengenai Anwar menaiki jet peribadi bersama-sama pemimpin PR sudah pasti akan meninggalkan kesan serta persepsi negatif daripada rakyat,” kata blogger tersebut. Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, adalah satu ironis apabila pembangkang sering menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan kerajaan suka membazir, sedangkan mereka menaiki jet peribadi untuk pergi berkempen. “Walaupun perkhidmatan tersebut dibayar oleh pihak tertentu, rakyat tetap ada hak untuk mengetahui sama ada ia dibiayai oleh pihak antarabangsa atau orang tempatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata: “Sekalipun ia hanya dipinjamkan, mereka harus sedar tiada makanan tengah hari percuma di dunia hari ini.” Menjawab reaksi terhadap kritikan yang dilemparkan kepadanya, Anwar pada Sabtu menulis di laman Twitternya,: “Apa isunya? Seorang kawan telah merancang untuk memberi pinjam jet peribadinya.” Sambil mempertahankan tindakan bapanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menghantar tweet: “Apa isunya dengan perjalanan menaiki jet peribadi yang dipinjamkan oleh seorang rakan? Ia bukan kepunyaan kami, bukan dengan duit rakyat.” Tian Chua berkata, mereka telah pergi ke beberapa tempat di Sabah dan Sarawak pada hujung minggu ketika cuti hari Malaysia. Beliau menambah adalah lebih murah dan menjimatkan masa menyewa jet peribadi berbanding pesawat komersial.