Apa Kata Lim Guan Eng Tentang Filem Hina Islam

DAP mengecam keras filem anti-Islam Innocence of Muslims sambil menegaskan ia wajar ditarik keluar dari YouTube.

Dap Kutuk Marah Filem Hina Islam

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengamalkan prinsip kebebasan bersuara tetapi menolak keras tindakan tayangan filem menghina Islam.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang beragama Islam harus bijak menanganinya isu itu tanpa menggunakan kekerasan sebagaimana berlaku di beberapa negara.

"Filem itu jelas kurang sensitif dan jelas mahu mengapi-apikan sentimen keagamaan dan perlu ditarik balik daripada mana-mana laman web dan YouTube.

"Kita yakin bahawa masyarakat Islam di Malaysia sudah cukup matang dan bijak dalam berhadapan dengan tragedi seperti ini, bantahan harus dikemukakan dengan cara yang paling baik demi mengelak kejadian-kejadian yang lebih buruk lagi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hampir 20 negara menyaksikan protes membantah filem itu.

Guan Eng menyeru rakyat agar menolak karya ini kerana ia jelas telah membawa penghinaan kepada agama dan kepercayaan masyarakat Islam.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, isu seperti ini harus menjadi teladan bahawa demokrasi dan kebebasan bukanlah lesen untuk menggunakan atau memperalatkan bangsa, agama, budaya atau kepercayaan untuk mencetuskan sengketa atau permusuhan.