Bapa Sembelih Anak Sendiri

Seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat pengambilan dadah menyembelih bayinya yang baru berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan Kuantan.
Nur Amirah dikelar dengan senjata tajam ketika dia sedang tidur bersama ibu dan abangnya dalam kejadian kira-kira 9.30 malam. “Suspek yang dipercayai sedang khayal telah bertindak mengelar leher bayinya ketika isterinya keluar dari bilik tidur,” kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff kepada Bernama. Suspek yang berumur 29 tahun kemudiannya memaklum perbuatannya kepada isteri dan ibunya. Beliau berkata ibu suspek telah membawa bayi tersebut yang dalam keadaan kritikal ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. “Suspek kemudiannya ditahan di dalam sebuah kereta di lampu isyarat dekat Kem Batu 10 bersama bapa dan adik lelakinya, yang dipercayai mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk menyerah suspek kepada pihak polis,” katanya. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan, katanya. Pihak polis turut menemui parang dan pisau di tempat kejadian. – BERNAMA Sunday, November 18, 2012