Kes Polis Rogol Budak Indon

Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang wanita Indonesia membuat laporan polis mendakwa dirinya diperkosa ketika ditahan di sebuah balai Polis di Bukit Mertajam.
Semua mereka berpangkat konstabel yang berusia 20 hingga 30-an itu ditahan petang semalam dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi Kosmo! Ahad mengesahkan tangkapan tiga anggota itu yang dibuat susulan laporan daripada mangsa yang berusia 25 tahun kelmarin. Dalam pada itu, ketika menceritakan semula episod hitam itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu restoran mendakwa, kejadian berlaku apabila dia dibawa ke balai polis berkenaan selepas pasport miliknya dikatakan tamat tempoh. Sebelum itu, pada pukul 6.20 pagi kelmarin, mangsa yang menaiki sebuah teksi berhampiran sebuah pusat beli-belah di Perai ditahan anggota polis peronda yang kemudiannya meminta dia menunjukkan kad pengenalan. Wanita itu mendakwa, ketika kejadian dia hanya membawa salinan pasport. "Mereka (polis) beritahu pasport saya sudah tamat tempoh dan terus bawa saya ke balai polis untuk ditahan di lokap. "Ketika berada di balai saya merayu supaya dilepaskan tetapi seorang daripadanya memaksa saya melakukan hubungan seks sebelum menghantar saya pulang ke rumah pada pukul 7.30 pagi," kata wanita itu pada sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Bukit Mertajam di sini semalam.