Tak Dapat Elaun Ibu Tunggal Mahu Saman MB Selangor

Lebih 10,000 orang wanita berstatus ibu tunggal akan memfailkan saman terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor kerana gagal melunaskan pemberian elaun untuk golongan itu yang dijanjikan kerajaan Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz memberitahu, Tetuan Kamaruddin & Partners telah dilantik sebagai wakil untuk memfailkan saman tersebut. Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata, saman berkenaan akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 November ini. "Pada keesokan harinya pula (23 November) satu piket secara aman akan diadakan di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar berhubung tuntutan tersebut," katanya pada Majlis Sepetang Bersama Ibu-Ibu Tunggal DUN Semenyih di sini semalam. Lebih daripada 2,000 ibu tunggal dijangka akan menghadiri piket tersebut.