Akhirnya Pembunuh Sosilawati Lawiya Dijatuhkan Hukuman Gantung



Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain di Ladang Gadong, Banting pada malam 30 Ogos 2010.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes yang dihadapi kesemua tertuduh.
Selain Pathmanabhan, 44, tiga tertuduh lain ialah T. Thilaiyalagan, 21, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32.
Kempat-empat tertuduh itu didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos 2010. Hukuman gantung adalah mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh tenang ketika mendengar keputusan itu. Pihak pembela memberitahu mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Pelaksanaan hukuman gantung ke atas semua tertuduh ditangguh sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, Hakim Akhtar dalam penghakimannya berkata, penafian tertuduh pertama yang mendakwa tidak bertemu Sosilawati pada 30 Ogos 2010 berlawanan dengan keterangan anak mangsa, Erni Dekritawati Yuliana Buhari yang memberitahu ibunya ke Banting untuk berjumpa peguam berkenaan bagi menyelesaikan urusan berhubung dua keping cek.
“Begitu juga dengan keterangan isteri Ahmad Kamil dan isteri Noorhisham yang tidak dicabar ketika mereka memberi keterangan bahawa suami masing-masing mengikut Sosilawati untuk menjadi penasihat kepada wanita itu ketika bertemu Pathmanabhan.
“Perkara tersebut turut terbukti dengan rekod panggilan mangsa-mangsa sepanjang perjalanan mereka menuju ke Banting,” kata beliau dalam penghakiman yang dibaca hampir sejam.