No Pendaftaran Kenderaan Baru Bagi Kuala Lumpur


PUTRAJAYA – Nombor pendaftaran kenderaan bagi Kuala Lumpur akan bermula dengan siri nombor baharu iaitu W (1 sehingga 9999) dan berakhir dengan A pada Julai depan.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, nombor plat pada masa ini telah mencapai WYK 6xxx dan ia akan berakhir dengan WYY 9999 dalam tempoh terdekat.
“Saya dimaklumkan hari ini (semalam) dalam keputusan mesyuarat bahawa siri nombor pendaftaran baharu bagi Kuala Lumpur adalah W 1 sehingga 9999 dan di hujungnya ada A.
“Nombor berikutnya ialah W1 B sehingga W9999B diikuti dengan W1C dan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat tugas di Kementerian Pengangkutan di sini semalam.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan oleh pihak kementerian lebih awal dan ia mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat.