Wajarkah Laman Web Berita Perlu Ada Lesen

Malaysia perlu melaksanakan peraturan yang sama seperti kerajaan Singapura yang mengenakan lesen terhadap semua laman web berita negara itu bagi menyekat tindakan sesetengah pihak menggunakan saluran itu untuk menghasut dan menganggu-gugat ketenteraman awam.


   
Peguam bela dan peguam cara Datuk Salehuddin Saidin berkata walaupun Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan bersuara kepada rakyat, namun perlu diingat, hak itu juga dihasilkan secara bersyarat iaitu antaranya kebebasan tidak menimbulkan fitnah, hasutan dan mempersoal keistimewaan sultan.
   
"Pada saya, sebelum keharmonian kaum terus diganggu adalah lebih baik ia dikawal dan disekat.
   
"Maknanya, lesen yang dikenakan ke atas laman web berita itu pastinya akan menjadikan pemilik laman web tersebut lebih berhati-hati dengan artikel yang dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Singapura yang akan menguatkusakan peraturan tersebut mulai Sabtu ini di mana laman web yang mempunyai 50,000 pelawat dari Singapura setiap bulan dan menghasilkan sekurang-kurangnya satu artikel tempatan seminggu mesti memperoleh lesen tahunan daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA) negara itu.

Sebuah agensi berita antarabangsa memetik kenyataan MDA menghendaki laman web yang diberi lesen itu mengeluarkan bahan larangan seperti artikel yang boleh menjejaskan keharmonian agama dan kaum daripada laman web dalam tempoh 24 jam setelah dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
   
Laman web yang dilesenkan itu perlu menyediakan S$50,000 sebagai jaminan bon.
   
Salehuddin yang menyokong tindakan Singapura itu berkata rakyat di negara ini sudah lama "diberi muka dan aktiviti menghasut menerusi hebahan artikel perlu dilihat sebagai suatu fenomena yang serius kerana ia semakin mengganggu kelestarian kaum."
   
Beliau turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang diberi tanggungjawab memantau laman web di negara ini supaya mengambil tindakan mengenakan lesen terhadap portal berita di negara ini bagi memastikan pemantauan dapat diadakan dengan lebih telus.
   
Katanya dengan mengadakan peraturan tersebut, SKMM dapat mengumpul maklumat mengenai pemilik portal berita berkenaan, selain memiliki maklumat mengenai penulis dan individu yang terlibat dengan portal itu.

Cara ini akan memudahkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab, terutama portal berita yang cuba menggugat perpaduan negara dan ketenteraman awam, katanya.
   
Salehuddin turut mencadangkan kerajaan mengenakan jumlah bon yang sesuai dalam lingkungan RM10,000 hingga RM50,000 atau mengikut kesesuaian semasa sebagai cagaran kepada pemilik lamab web tersebut bagi memastikan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.
   
Seorang lagi pengamal undang-undang Wan Azmir Wan Majid berkata penguatkuasaan undang-undang secara tegas amat perlu memandangkan langkah untuk mengenakan lesen semata-mata tidak akan mengekang sesetengah pihak daripada mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.
   
"Isunya bukan ada lesen atau tidak tetapi sejauh mana kerajaan menggunakan undang-undang itu untuk mengekang hasutan berlaku.
   
"Jika macam-macam lesen diberikan kepada mana-mana pihak, tetapi lemah dari segi penguatkuasaan, pastinya tidak akan nampak sebarang perubahan malah individu tidak bertanggungjawab akan menggunakan hal ini sebagai satu stigma untuk terus menyiarkan artikel yang boleh mencetus kekacauan kaum," katanya.
   
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu lebih prihatin dalam melaksanakan undang-undang agar provokasi yang ditimbulkan saban hari tidak terus menjadi duri yang memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.Sinar Harian