Barisan Nasional BN Tidak Sesuai Jadi Parti Tunggal

Cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebuah parti tunggal adalah tidak sesuai dan amat sukar dilaksanakan memandangkan ia tidak mampu mewakili suara semua kaum di negara ini, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan. 
    
Beliau berkata, BN terdiri daripada 13 parti komponen yang mewakili pelbagai kaum termasuk kaum minoriti di Sabah dan Sarawak dan jika cadangan itu dilaksanakan beliau khuatir suara kaum minoriti ini kelak tidak dapat diwakili dengan baik. 


    
"Kita tahu dari Sabah dan Sarawak, BN mempunyai parti kompnen yang mewakili pelbagai etnik yang tidak ramai di sana yang jika BN disatukan, suara mereka akan terhakis serta tidak mampu didengari lagi," katanya. 
    
Ahli Parlimen Pontian itu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Agama Seri Anom Parit Satu di Pontian hari ini yang melibatkan peruntukan pembinaan sebanyak RM1.9 juta.  

Ahmad berkata secara peribadi, beliau sendiri tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang bakal menjadikan Umno, satu-satunya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selama ini terkubur.  
    
"Saya sendiri tidak bersetuju Umno bubar untuk wujudkan parti BN tunggal tanpa komponen dan saya yakin 3.4 juta ahli Umno juga tidak bersetuju," katanya.
 
Dalam masa yang sama beliau meminta cadangan untuk mewujudkan keahlian terus BN tanpa menjadi ahli kepada mana-mana komponen BN sebelum ini diaktifkan semula
sebagai alternatif kepada cadangan BN menjadi parti tunggal. 

Dengan cara itu, BN boleh menarik pelbagai persatuan atau kesatuan menjadi ahli bersekutunya.