Najib Bertemu Pengerusi Facebook Mark Zuckerberg

SAN FRANCISCO – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan peribadi dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook Mark Zuckerberg di ibu pejabat media sosial gergasi itu di Menlo Park pada Selasa.
Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam kenyataan di sini berkata Najib dan Zuckerberg membincangkan mengenai usaha kerjasama yang kemungkinan boleh dilakukan antara Facebook dan Malaysia. Perbincangan berkisar terhadap usaha untuk merapatkan jurang digital dan mendekatkan kemudahan Internet serta peluang-peluang digital lain kepada mereka yang tidak berhubungan atau berkaitan setakat ini. Pada 20 Ogos tahun ini, Facebook, bersama rakan pengasasnya Ericsson, Mediam Tek, Nokia, Opera, Qualcomm dan Samsung, melancarkan Inernet.org, suatu inisiatif untuk menjadikan kemudahan Internet tersedia bagi lima bilion orang lain. Pertemuan itu tertumpu kepada menangani tiga cabaran utama — menjadikan akses Internet yang mampu dimiliki, penggunaan data secara lebih efisien dan membantu menyediakan kemudahan untuk memacu perniagaan — di negara-negara membangun. “Internet.org merupakan inisiatif yang murni dan berani serta adalah suatu yang terpuji bahawa industri ini melakukan cubaan untuk menjadi inkklusif dan merapatkan jurang digital. Matlamatnya selaras dengan aspirasi Digital Malaysia, yang berusaha untuk memperkasa secara digital lebih banyak rakyat Malaysia bagi meraih peluang dalam Ekonomi Digital,” Najib dipetik berkata demikian dalam kenyataan itu.